Connect with:




Beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai menjuarai kejohanan badminton Terbuka Jerman di Mulheim hari ini.

Kejayaan tersebut menghadiahkan gelaran pertama untuk kalendar 2018 buat sukan badminton negara.

Mereka yang juga pilihan ketiga kejohanan menumpaskan pasangan Denmark Niclas Nohr-Sara Thygesen di pentas akhir dengan keputusan 21-14, 22-20 dalam tempoh 47 minit.

Kemenangan tersebut menyaksikan pasangan negara itu mencatat kemenangan kedua sepanjang dua kali pertemuan dengan Nohr-Thygesen, yang sebelum ini telah mengatasi lawan yang di Terbuka Denmark, Oktober tahun lalu.

Beregu campuran negara mara ke peringkat akhir setelah menyingkirkan pasangan Korea Selatan, Korchoi Solgyu-Chae Yoo Jung yang juga pilihan kelapan kejohanan.

Shevon menyifatkan komunikasi yang baik merupakan faktor kejayaan mereka.

“Saya dan Soon Huat berkomunikasi dengan baik. Kami sama-sama menyokong antara satu sama lain,” ujarnya.

Mereka kini menjadi pemain Malaysia pertama memenangi Terbuka Jerman sejak ia dipertandingkan pada 2001.

Ia juga merupakan kejuaraan antarabangsa ketiga bagi Soon Huat-Shevon, namun kemenangan di Jerman merupakan yang pertama tahun ini.

Sebelum ini mereka menjuarai Cabaran Antarabangsa Malaysia dan Terbuka Scotland pada 2016, sebulan selepas mereka digandingkan.

Foto Kredit : badmintonplanet(dot)com