Connect with:




Pengurus sementara Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer, berkata dia hanya mahu barisan pemainnya menikmati kerjaya bola sepak mereka selepas dia kembali ke Old Trafford susulan pemecatan Jose Mourinho.

United mengikat kontrak perjanjian bersama bekas penyerang antarabangsa Norway itu sehingga hujung musim ini bagi menyelamatkan kelab berkenaan yang beraksi hambar pada kempen musim ini.

Menurut Solskjaer, dia tidak mahu memberi tekanan kepada pemain sebaliknya ingin membiarkan anak buahnya selesa “mengekspresikan diri” sepanjang kempen berlangsung.

“Saya hanya akan menjadi diri sendiri…biarkan pemain menikmati bola sepak mereka dan tidak sabar untuk bertemu dengan penyokong semula,” kata Solskjaer.

Dalam perkembangan sama, United turut menjelaskan bahawa perlantikan pengendali tetap akan dilaksanakan akhir musim ini.

Sebagai rekod, Solskjaer menghabiskan masanya selama 11 musim di Old Trafford, dan mencipta zaman kegemilangannya dengan meledak gol kemenangan pada aksi final Liga Juara-Juara 1999

Dia juga menzahirkan rasa keterujaannya yang merasakan dirinya seperti pulang kembali ke rumah setelah sekian lama.

“Saya terasa seperti pulang ke rumah. Saya janji akan ‘mencurahkan segalanya’ untuk mengembalikan semula kejayaan kelab dan membuatkan pemain dapat ‘menikmati bola sepak’ kembali,” katanya.

“Lebih banyak kesilapan yang anda buat, semakin banyak yang anda pelajari dan itulah yang berlaku kepada saya,” katanya.

“Kami mempunyai skuad yang menakjubkan. Jadi, bukanlah satu masalah berkaitan dengan jumlah perlawanan yang akan datang.

“Pemain memiliki kualiti dan akan mendapat peluang dengan perlawanan yang banyak selepas ini. Mereka ada peluang untuk membuktikan mereka adalah pemain terbaik Manchester United,” katanya.

Aksi sulung yang bakal dihadapinya adalah pertemuan dengan bekas kelab bimbingannya pada 2014, Cardiff City pada malam esok dan ia merupakan aksi permulaan kepada lima perlawanan dalam tempoh 15 hari.

 

Foto: Manchester United