Connect with:




Zinedine Zidane membuat kejutan apabila dia kembali mengambil alih tugas sebagai  jurulatih Real Madrid selepas kelab itu memutuskan untuk memecat Santiago Solari, kata laporan dalam akhbar Sepanyol.

Presiden Madrid, Florentino Perez dikatakan bertemu dengan bekas jurulatih Madrid itu dan memutuskan untuk menyingkirkan Solari, dengan Zidane ditetapkan kontrak sehingga Jun 2022 mengemudi kelab itu, sembilan bulan selepas dia melepaskan jawatan pada akhir musim lalu.

Dalam pada itu, Zidane berkata dia tidak pernah meragui untuk kembali ke Real Madrid selepas kembali ke Real Madrid semalam.

“Apabila presiden menghubungi saya perkara pertama yang saya fikirkan adalah : pergi,” kata Zidane dalam sidang media di Santiago Bernabeu.

“Saya pergi kerana perlu ada perubahan yang harus dilakukan pada penghujung musim lalu, untuk kebaikan semua, selepas mencipta banyak kejayaan,” kata Zidane.

“Saya kembali kerana presiden menghubungi saya. Saya sukakannya dan cinta kelab ini, jadi di sini saya berada.”

Keutamaannya adalah untuk memastikan kedudukan Madrid di tangga teratas selepas dua minggu bergelumang dengan konflik yang menyaksikan mereka kalah dua kali ke Barcelona dan tersingkir dalam Liga Juara-Juara.

Sebagai rekod, Zidane sebelum ini memacu kelab tersebut sehingga berjaya melakar sejarah apabila merangkul tiga gelaran Liga Juara-Juara selain mempunyai reputasi hebat bersama skuad Los Blancos.

Foto: Nick Potts