Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lembah Keramat menjuarai Kejohanan Ragbi Sekolah Columbia Asia-COBRA 2012, yang diadakan di SMK Puchong Utama (I) kelmarin. SMK Lembah Keramat menewaskan SMK Seksyen 19, Shah Alam dengan keputusan 20-12. SMK Tinggi Kajang pula berpuashati di tangga ketiga.

Daripada 18 buah sekolah yang telah mengambil bahagian dalam Program Ragbi Sekolah Columbia Asia-COBRA sejak 16 Jun, lapan telah dipilih untuk mengambil bahagian dalam kejohanan ini yang bermula pada 30 Jun dan berakhir kelmarin.

Trofi utama kejohanan telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Columbia Asia Asia Tenggara, Kelvin Tan. Turut hadir untuk memberi hadiah adalah Penolong Pengarah Pengurusan, Majlis Sukan Sekolah Malaysia, Mohd. Hamry Ismail.

Pelajar dari sekolah yang mengambil bahagian, guru, ibu bapa, wakil Columbia Asia dan COBRA serta orang ramai turut memeriahkan perlawanan akhir ini.

Columbia Asia selaku penaja memberikan pemeriksaan kesihatan secara percuma untuk para hadirin yang hadir.