Skuad tenpin boling wanita negara muncul juara dunia selepas menewaskan Singapura dalam aksi final wanita 5 perpasukan Kejuaraan Boling Dunia di Las Vegas pada Isnin.

Natasha Roslan, Sin Li Jane, Syaidatul Afifah, Siti Safiyah dan Shalin Zulkifli beraksi cemerlang menewaskan Cherie Tan, Daphne Tan, Jazreel Tan, New Hui Fen dan Shayna Ng dari Singapura menerusi kemenangan 2-0 pada acara yang berlangsung di South Point Bowling Plaza.

Dalam game pertama, Malaysia mengumpul 214 mata berbanding lawan yang memungut 209 mata. Rentak kemenangan diteruskan pada game kedua dengan skuad negara menewaskan lawan menerusi kutipan 188 berbalas 177.

Sebelum itu, Malaysia mara ke final selepas menewaskan Korea Selatan sementara Singapura menumpaskan Colombia dalam aksi separuh akhir. Korea Selatan dan Colombia berkongsi pingat gangsa bersama.

Kejayaan ini menamatkan kemarau takhta kejuaraan acara yang sama selepas kali terakhir dilakukan pada 2007 di Mexico.