SSFC naikkan semangat dan moral pemain Selangor

 

Menjelang aksi sepak mula separuh akhir kedua Jumaat ini, skuad Selangor mendapat suntikan semangat dari penyokong setia mereka menerusi kelab Selangor Soccer Fan Club (SSFC) pada sesi latihan di Padang SUK semalam.

Selepas menjalani latihan, pemain-pemain Selangor dikejutkan dengan kehadiran ahli-ahli SSFC dan penyokong lain serta kek yang tertera “Misi 33” demi menaikkan semangat skuad Merah Kuning ini.

Bagi Presiden SSFC, Nasir Yunos, mereka berharap penyokong-penyokong Selangor akan turun beramai-ramai Jumaat ini bagi memberikan sokongan kepada Irfan Bakti dan anak-anak buahnya.

“Kami yakin Selangor mampu menebus defisit 1 gol yang dimiliki Kelantan. Jadi saya menyeru penyokong-penyokong Selangor datang dan berikan sokongan bukan sahaja kerana ‘Misi 33’, malahan untuk kembali memenuhkan gelanggang keramat kita, Stadium Shah Alam seperti ketika Selangor menempa era kegemilangannya pada masa dulu” jelas Nasir yang ditemui semasa sesi latihan Selangor.

SSFC turut mengambil insiatif menaikkan semangat penyokong dengan turut membuka kaunter tiket tambahan di Wisma FAS, Jalan Maharajalela, Kuala Lumpur.

“Ini salah satu cara kami bagi memudahkan penyokong-penyokong diluar Shah Alam khususya yang berada jauh dari stadium. Kaunter tiket ini kami buka bermula Khamis pada jam 12 tengahari hingga 3 petang serta Jumaat bermula pukul 10 pagi” kata Nasir lagi.

Sementara itu, sempena perlawanan Jumaat nanti, Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) dengan kerjasama Yayasan Amal Malaysia cawangan Selangor akan melancarkan tabung derma kepada Ezmi Mad Jan; bekas pemain Selangor yang kini menghidap barah hidung.

“Tujuan kutipan derma ini diadakan bukan sahaja untuk menunjukkan solidariti kepada Ezmi, malahan kita turut berharap ianya akan memupuk budaya menderma dikalangan peminat bolasepak tempatan” kata wakil Yayasan Amal Malaysia, Fauzan Mazlan ketika ditemui media yang turut dihadiri Naib Presiden FAS, Datuk Hamidin Mohd Amin.

Tabung derma ini akan turut diletakkan dibahagian penyokong Kelantan. Kutipan yang diterima nanti akan diberikan kepada keluarga Ezmi dalam masa terdekat bagi meringankan bebanan yang dihadapi.

Sementara itu, kaunter jualan tiket separuh akhir Selangor-Kelantan akan bermula esok pada jam 9 pagi hingga 7 petang dan juga pada Jumaat sehingga perlawanan bermula.