Connect with:




Meskipun berjaya mencapai sasaran untuk berada dalam kelompok lima terbaik pada Sukan Asia Jakarta-Palembang baru-baru ini, skuad ragbi negara enggan berehat lama kerana mempunyai satu lagi sasaran besar yang harus dicapai.

Laporan dari akhbar Berita Harian menyatakan skuad ragbi 7s negara bakal mengharungi Siri Asia yang bermula dua minggu lagi dan nyata skuad negara tekad ingin membaiki pencapaian yang lalu.

Menurut Kapten Skuad Ragbi 7s Negara, Zulkiflee Azmi memberitahu semua pemain yang sedia ada akan dikekalkan agar tidak mengganggu keserasian antara semua pemain.

“Kami ingin memperbaiki pencapaian tahun lalu dimana kami berada di tempat keenam jadi tahun ini kami menyasarkan untuk kedudukan yang lebih baik.

“ Empat terbaik menjadi sasaran pada kejohanan kali ini oleh itu kami harus lupakan rehat buat masa sekarang dan kembali fokus kepada kejohanan Siri Asia”, katanya selepas tiba daripada Jakarta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2, semalam (Isnin).

Pada temasya Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 yang lalu, Zulkiflee berpuas hati dengan persembahan rakan sepasukan kerana berjaya memperbaiki pencapaian empat tahun lalu di Incheon, Korea Selatan di mana skuad kebangsaan sekadar berada di tempat ke sembilan.

“Kami berharap segala bantuan yang diberikan Majlis Sukan Negara (MSN) berterusan kerana pencapaian  pada temasya kali ini adalah hasil daripada persiapan yang lebih teratur dan kemas berbanding sebelum ini”, tambahnya lagi.

Pada aksi penentuan tempat kelima/keenam skuad ragbi 7s negara menundukkan pasukan China dengan keputusan 12-5 untuk skuad negara mengakhiri saingan Sukan Asia 2018 di tempat kelima.