Connect with:




Teka-teki siapakah yang akan meraih gelaran juara Piala Emas Raja-Raja edisi ke-78 terjawap semalam apabila pasukan Pahang berjaya mengetepikan cabaran Terengganu menerusi kemenangan tipis 1-0 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh.

Kejayaan ini menyaksikan skuad Tok Gajah melakukan kejuaraan berganda selepas berjaya menjulang Piala Agong sebelum ini.

Rembatan kencang Muhd Hafizi Abd Halim sebaik menerima lorongan menarik Muhammad Firdaus Abdul Razak pada minit ke-7 perlawanan meletakkan pasukan tuan rumah mendahului 1-0.

Pasukan pelawat yang tersentak dengan jaringan awal itu bangkit mengasak kubu pasukan Pahang menerusi percubaan lambung Amirul Dzulkarnain Rawi pada minit ke-17 namun gagal menemui pintu gol yang dikawal Mohd Hashim Hisyamuddin.

Bersambung separuh masa kedua, pasukan Terengganu melancarkan serangan bertali arus ke pintu gol skuad Tok Gajah, namun gagal menembusi benteng pertahanan pasukan tuan rumah yang dilihat cukup ampuh mematahkan segala serangan lawan.

Kedudukan 1-0 kekal sehingga ke wisel penamat sekaligus menyaksikan Pahang muncul juara Piala Emas Raja-Raja edisi ke-78 tahun ini.

 

Sumber : PressReader

Foto : TokGajah.com