Sultan Johor, DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar hari ini menerusi laman facebook Johor Southern Tigers menjemput Menteri Belia dan Sukan, YB Khairy Jamaluddin dan pasukan polo Sukan SEA menentang pasukan polo Johor.

“Pasukan yang bertanding untuk sukan polo di Temasya Sukan Sea 2017 ini ibarat hanya untuk cukupkan syarat pertandingan sahaja. Ada yang datang dengan handicap rendah, jadi memanglah mudah untuk dikalahkan.

“Saya cabar pasukan polo Sukan Sea supaya datang ke negeri Johor dan tunjukkan taring mereka yang saya dengar handal sangat. Hari ini lawan Singapura. Bila pasukan sudah menang baru masuk bermain dan suruh budak yang sedang ‘perform’ berpura-pura mengalami kecederaan.

“Jadi ada gambar beliau dapat masuk dalam pasukan untuk dipaparkan dalam media cetak dan melakukan propaganda menipu orang ramai seolah-olah dia yang menang dan handal.

Pasukan polo negara telah berjaya menewaskan Brunei 11-4 pada perlawanan pertama serta menang 13-2 menewaskan Singapura.