Skuad kebangsaan bawah 15 tahun pagi tadi telah berlepas ke Chonburi, Thailand bagi memulakan saingan Kejohanan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) Bawah 15 Tahun yang berlangsung di Chonburi, Thailand bermula dari 9 Julai hingga 22 Julai 2017.

Malaysia diundi di dalam Kumpulan B bersama Vietnam, Kemboja, Timor Leste, Filipina dan Brunei Darussalam. Manakala juara bertahan, Thailand diundi bersama Australia, Laos, Myanmar, Indonesia dan Singapura.

Seramai 23 pemain Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) akan membawa cabaran negara dan barisan pemain dipilih atas persetujuan pasukan teknikal yang diketuai Pengarah Teknikal AMD, Lim Teong Kim. Raja Azlan Shah Raja Sho’ib, yang bertindak sebagai penolong jurulatih ketika di Torneo Delle Nazioni pada Mei lepas, akan mengendalikan skuad Malaysia bawah 15 tahun bagi kejohanan kali ini.

Skuad Harimau Malaysia akan berdepan cabaran Filipina (10 Julai), Timor Leste (12 Julai), Brunei DS (14 Julai), Vietnam (16 Julai) dan Kemboja (18 Julai) di dalam satu pusingan perlawanan. Dua pasukan teratas daripada setiap kumpulan akan mengisi slot separuh akhir kejohanan.

Kejohanan AFF B-15 di Chonburi Thailand, dianggap sebagai medan persediaan bagi pasukan-pasukan di Asia Tenggara menjelang Kelayakan Kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-16 Tahun 2018 yang akan berlangsung pada September ini di Indonesia. Pada edisi yang lepas, AFF mengenakan format kejohanan bawah 16 tahun dan Thailand telah muncul sebagai juara.700