Skuad bola sepak kebangsaan terpaksa akur dengan kehebatan pasukan Lubnan dalam aksi kelayakan Piala Asia 2019 di Larkin, semalam. 

Di bawah bimbingan Nelo Vingada selaku pengendali baharu, Malaysia terlebih dahulu di depan hasil jaringan Mahali Jasuli pada minit-43.

Mahali menyempurnakan peluang terhidang hasil kesilapan penjaga gawang lawan namun kedudukan 1-0 tersebut masih belum cukup selesa dengan Lubnan lebih banyak melakukan asakan. 

Hasilnya, Rabih Ataya menjadi duri bagi skuad negara apabila berjaya menyamakan kedudukan selepas bola lencongannya gagal dihadang penjaga gol negara, Khairul Azhan Khalid pada minit ke-79.

Ketika perlawanan dilihat akan berakhir dengan keputusan seri, Rabih sekali menghukum kelekaan pertahanan negara untuk menjaringkan gol kemenangan pasukan di ranking ke-135 dunia itu pada saat-saat akhir.  

Dalam satu lagi pertembungan, Hong Kong dan Korea Utara berkongsi mata selepas terikat 1-1.

Lubnan kini menjadi pendahulu kumpulan B memerusi 6 mata diikuti Korea Utara dan Hong Kong masing-masing 1 mata.