Skuad Harimau Muda  bimbingan Ong Kim Swee mendapat suntikan moral menjelang permulaan Piala Asia Bawah 22 Tahun di Myanmar minggu depan apabila menumpaskan Qatar 2-0 dalam aksi persahabatan di Stadium Shah Alam, petang tadi.

Perlawanan yang dihadiri lebih 5000 penonton dimulakan dengan skuad kebangsaan berjaya mengasak kubu lawan dan berjaya membuat beberapa percubaan berbahaya sambil skuad Qatar sekali sekala mencuba gawang Malaysia yang dikawal Izham Tazmizi.

Malaysia memecah kebuntuan gol apabila kapten pasukan, Irfan Fazail merembat cantik tendangan percuma yang mengelirukan penjaga gol Qatar, Muhannad Naim Hussein pada minit ke-26.

Sepakan percuma itu diperolehi setelah penyerang Malaysia, Thamil Arasu dijatuhkan pertahanan lawan di luar kotak penalti.

Kerancakan permainan sedikit terencat pada minit ke-40 apabila berlaku insiden pergaduhan yang melibatkan Nazmi Faiz Mansor dan Abdelkarim Hassan . Pertengkaran bermula selepas Abdelkarim membentes keras Mohd Azrif Nasrulhaq dan menyebabkan Nazmi meluru untuk masuk campur serta menumbuk Abdelkarim. Tindakan Nazmi dan Abdelkarim yang bertindak balas menyebabkan pengadil, Nagor Amir Noor Mohamed tanpa ragu melayangkan kad merah kepada kedua-dua pemain ini.

Bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dan beberapa kali menukar pemain untuk menguji formasi yang terbaik.

Malaysia berjaya menambah gol pada minit ke-68 menerusi penyerang Sabah, Mohd Rozaimi Abdul Rahman yang merembat masuk selepas percubaan terbias pertahanan lawan.

Tersentak dengan gol itu, Qatar menggandakan asakan namun terpaksa akur dengan kekebalan pertahanan Malaysia dan kedudukan 2-0 kekal hingga ke wisel penamat.