Oleh : Faliq Firdaus

Episod kekalahan skuad negara berterusan apabila tumpas 0-1 kepada pasukan Selangor di Stadium Shah Alam, Selangor, semalam dalam aksi perlawanan persahabatan yang dihadiri lebih kurang 2000 penonton.

Aksi malam tadi dilihat sebagai medan eksperimen bagi kedua-dua pasukan bagi mencuba pemain-pemain dan kombinasi terbaru, terutamanya pasukan negara yang menyaksikan posisi benteng tengah negara dikemudi oleh Norhafiz Zamani Misbah dan Mohd Rizal Fahmi.

Pada separuh masa pertama, perlawanan bermula dengan agak seimbang dengan kedua-dua pasukan memiliki peluang untuk menghasilkan gol,
terutamanya pasukan Selangor yang bermain berpaksikan kapten pasukan, Amri Yahyah. Gerakan mereka yang tersusun berjaya menghasilkan beberapa peluang termasuk 2 cubaan yang terkena palang gol.

Skuad negara turut berjaya mencipta beberapa peluang hasil gerakan pemain sayap kiri, Baddrol Bakhtiar, namun pemain bahagian serangan yang diketuai penyerang sensasi, Safee Sali, gagal membolosi gawang gol Selangor. Corak permainan Malaysia pada separuh masa pertama lebih kepada penguasaan bola dan hantaran pendek diantara pemain, manakala pasukan Selangor dilihat lebih menguasai perlawanan pada penghujung separuh masa pertama.

Pada separuh masa kedua pula, pasukan Malaysia dilihat menguasai perlawanan dan bermain dengan corak yang pantas selepas Ketua Jurulatih skuad negara, Datuk K. Rajagobal, memasukkan pemain-pemain seperti Joseph Kallang Tie, S.Chanturu, dan S.Kunanlan. Pertukaran pada separuh masa kedua ini juga turut menyaksikan Khyril Muhymeen Zambri diberi peluang beraksi setelah sekian lama dibelenggu masalah
kecederaan. Pertukaran yang dilakukan telah meningkatkan tempo perlawanan dan pasukan negara melancarkan asakan bertubi-tubi terhadap benteng pasukan Selangor, melalui sayap kiri dan kanan, posisi yang diisi oleh S.Kunanlan dan Khyril Muhymeen. Kelincahan Khyril Muhymeen di bahagian sayap kanan juga telah berjaya mengucar-kacirkan pertahanan Selangor.

Keasyikan skuad negara dalam melancarkan serangan juga telah memberikan ruang kepada pasukan Selangor untuk melancarkan serangan balas. Taktik serangan balas itu berhasil apabila Rudie Ramli berjaya menyepak masuk ke dalam gawang Sharbinee Allawee pada jarak 30 meter
pada minit ke-63 perlawanan. Tersentak dengan jaringan itu, skuad negara memperhebatkan lagi jentera serangan, tapi gagal menerjah jaring.

Selangor kemudiannya bermain dengan corak bertahan sehingga tamat perlawanan. Keputusan kekal sehingga tamat perlawanan. Perlawanan malam tadi berjalan dengan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini, dengan hanya 2 layangan kad kuning.