Skuad bolasepak Malaysia bakal diuji dengan beberapa perlawanan persahabatan dalam bulan Julai ini apabila menjadi destinasi pilihan untuk pasukan Arsenal dan Manchester City.

Terbaru mengikut laporan aseanfootball.org, skuad Harimau Malaya juga disahkan sebagai pasukan terkahir yang bersetuju untuk menyertai Kejohanan Java Cup 2012 yang bakal berlangsung di  Stadium Utama Gelora Bung Karno Jakarta, Indonesia pada 26 hingga 29 Julai.

Pengumuman itu dibuat oleh Widjajanto, Ketua Pegawai Eksekutif, PT Liga Prima Indonesia Sportindo dalam satu sidang media yang turut disertai pemain Everton, Marouane Fellaini.

Kejohanan empat penjuru itu akan disertai oleh pasukan Indonesia, Malaysia,  Juara Liga Turki iaitu Galatasary dan pasukan Liga Inggeris, Everton.

Namun begitu, masih belum ada pengesahan daripada pihak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengenai pasukan manakah yang akan bertanding.

Everton akan bertemu Galatasaray pada perlawanan pembukaan dan pemenang perlawanan ini akan bertemu pemenang di antara perlawanan Malaysia menentang Indonesia.

Selain membabitkan skuad kebangsaan, pasukan Kelantan dan Sabah turut berpeluang menguji pasukan Liga Perdana Inggeris, Queens Park Rangers sebagai persiapan pasukan tersebut untuk mengharungi musim baru Liga Perdana Inggeris.

Jadual perlawanan Pasukan Malaysia :

Queens Park Ranger menentang Sabah – 18 Julai

Queens Park Ranger menentang Kelantan – 20 Julai 2012

Malaysia menentang Arsenal – 24 Julai 2012

Malaysia menentang Manchester City – 30 Julai 2012

Java Cup 2012 ( Malaysia, Indonesia, Everton, Galatasary ) 26-29 Julai 2012

Malaysia menentang Akademi Chelsea (skuad remaja Chelsea) – 31 Julai 2012