Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Subahan Kamal mengatakan bahawa FAM ketika ini dalam proses untuk menggemilangkan bolasepak negara. Subahan yang juga pengurus skuad kebangsaan turut menegaskan yang skuad kendalian Datuk K. Rajagobal masih berada di landasan yang betul untuk mempertahankan kejuaraan Piala AFF Suzuki 2012, November nanti.

Disamping itu, Subahan turut menjelaskan, matlamat utama skuad kebangsaan selain daripada mempertahankan kejuaraan Piala AFF adalah untuk layak buat kali pertama ke Piala Asia yang bakal berlangsung di Australia pada 2015. Untuk itu, skuad kebangsaan memerlukan pemain pelapis yang bersedia pada bila-bila masa untuk dipanggil menyertai kem kebangsaan.

“Sebagai pengurus, setiausaha agung dan ketua jurulatih, kami yakin yang kita dalam proses untuk menguatkan pasukan dan juga mempersiapkan pemain muda,” tambahnya lagi ketika sidang media  jadual dan aktiviti skuad kebangsaan sepanjang tahun 2012 yang turut dihadiri Rajagobal dan Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad.

Mengikut senarai pemain yang sudah diuji Rajagobal semenjak skuad negara tewas kepada Singapura di pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia pertengahan tahun lalu, hampir 67 pemain telah dipanggil disamping turut memberikan peluang kali pertama buat pemain muda yang belum pernah mewakili negara untuk menyarung jersi kebangsaan.

Antara muka-muka baru yang telah diketengahkan dalam aksi sebelum ini adalah seperti Amiridzwan Taj Tajudin dari ATM, Ahmad Shakir Ali (Negeri Sembilan) dan terbaru adalah pemain Sabah, Shahrudin Yakub. Untuk perlawanan menentang Sarawak pada 24 Mac ini pula, Rajagobal menyelitkan lagi beberapa muka baru seperti penyerang sensasi Pahang, Azamuddin Mohd Akil, Alto Linus (Sabah), Muhd Afiq Azmi (Kuala Lumpur) dan Mohd Zulharis Mohd Nor (PKNS).

Sementara itu, dalam sidang media yang sama, FAM telah mengumumkan pengesahan dua aksi persahabatan menentang Singapura yang bakal diadakan di Singapura pada 8 Jun dan kemudiannya di Malaysia pada 12 Jun nanti.

FAM disamping itu juga masih menunggu pengesahan dari India, New Zealand, UAE dan Qatar untuk maklumbalas permohonan aksi persahabatan sepanjang tahun ini sementara Thailand dan Australia pula telah menolak hasrat skuad kebangsaan akibat jadual liga kebangsaan mereka tidak mengizinkan serta tarikh yang diletakkan FAM tidak mengikut tarikh kalendar FIFA untuk aksi persahabatan.