KUALA LUMPUR – ┬áJurulatih skuad hoki bawah 21 tahun negara Muhammad Dharma Raj Abdullah berharap anak buahnya tidak patah semangat selepas mencatat keputusan mengecewakan pada Piala Sultan Johor yang berakhir semalam. ┬áBeliau berkata setiap pemain perlu bangkit dan memberi fokus sepenuhnya dalam menghadapi kejohanan lebih besar iaitu Piala Dunia Remaja 2013 yang dijadual berlangsung di India dari 5 hingga 16 Dis.

Menyedari masih banyak ruang yang perlu diperbaiki skuad itu setelah menduduki tangga tercorot pada Piala Sultan Johor, beliau berkata skuad itu akan terus menjalani latihan termasuk mengadakan beberapa perlawanan persahabatan bagi menghadapi Piala Dunia Remaja.

“Pada 13 Dis ini, kita akan mengadakan perlawanan persahabatan menentang pasukan Universiti Sukan Kebangsaan Korea Selatan (KNSU) di Kuala Lumpur,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini. ┬áBeliau berkata skuad negara juga akan mengadakan beberapa perlawanan persahabatan di Bhopal, India bermula 15 Dis.

Muhammad Dharma Raj berkata skuad remaja negara turut dijadual mengadakan aksi persahabatan menentang skuad remaja Kanada pada Januari depan dan skuad remaja Australia pada Mei.

Mengenai pencapaian skuad remaja negara pada Piala Sultan Johor, beliau berkata sikap anak buahnya yang terlalu yakin telah memakan diri sehingga gagal mempertahankan piala itu.

“Skuad kita di tangga tercorot bukan kerana mereka tidak cukup bagus, hal ini terjadi kerana sikap terlalu yakin dapat mengalahkan pihak lawan menyebabkan mereka kecundang.

“Tidak salah untuk mempunyai keyakinan yang tinggi dalam sesuatu perlawanan tetapi jangan terlalu yakin sehingga memberi keputusan negatif kepada kita,” katanya.

Muhammad Dharma Raj berharap prestasi mengecewakan itu menjadi pengajaran kepada skuad remaja negara untuk terus berusaha dan tidak memandang rendah kemampuan pihak lawan pada kejohanan akan datang. – BERNAMA.