Tarikh 20 Ogos menjadi satu tarikh bersejarah buat Malaysia dan juga Sukan SEA. Buat pertama kalinya, acara sukan musim sejuk dianjurkan pada temasya dwi tahunan ini.

Malaysia mengambil inisiatif untuk membuktikan negara ASEAN yang beriklim panas dan lembap sebenarnya berpotensi besar untuk berjaya dalam sukan-sukan yang dikuasai negara musim sejuk.

Bagi Malaysia, perkara asas yang perlu diberi perhatian adalah kemudahan dan fasiliti. Ya, sebelum ini kita memang sudah memiliki gelanggang ais di Sunway Pyramid, Royal Chulan Damansara dan IOI City Mall. Namun begitu, ramai atlet dalam sukan sebegini menyuarakan ketidakselesaan untuk berkongsi dengan orang awam lantas menggangu waktu latihan mereka.

Maka, terbinalah stadium ais hoki pertama negara iaitu MYNISS yang terletak di Empire City, Damansara. Semalam, bangunan tersebut stelah dirasmikan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra bersempena dengan perlawanan pertama acara hoki ais melibatkan pasukan tuan rumah, Malaysia menentang Indonesia.

Indonesia terlebih dahulu membuka tirai bagi jaringan pertama namun gagal menyekat kemaraan pasukan negara untuk mendahului 4-2 pada set pertama.

Malaysia berjaya mengekalkan corak permainan apabila jauh meninggalkan Indonesia 8-2 di set kedua dan seterusnya mencatat kemenangan keseluruhan 10-3 dengan 44 percubaan ke gawang gol.

Venue penuh di Empire City yang dihadiri penyokong tuan rumah ditambah pula dengan alunan nyanyian pasukan sorak yang cukup menghangatkan suasana sehingga media tempatan tidak mendapat ruang bagi menjalankan liputan semasa ternyata memberi tonik tambahan buat pasukan negara.

Malaysia akan meneruskan kempen menentang Thailand yang menewaskan Singapura 7-0 semalam pada jam 8 malam ini di gelanggang yang sama.