Skuad Sukan SEA Jakarta dapat insentif dari TM

 

Telekom Malaysia Berhad (TM) meneruskan komitmennya dalam membangunkan bolasepak tempatan dengan menaja dan memberi insentif kepada skuad Harimau Muda negara selepas berjaya mempertahankan pingat emas Sukan Sea di Jakarta tahun lepas.

Hadir bagi menyerahkan cek tersebut ialah Ketua Pegawai TM, Dato’ Rozalila Abdul Rahman manakala FAM diwakili Setiausaha Agungnya, Lt. Jen (B) Datuk Azzudin Ahmad. Turut hadir ialah Naib Presiden FAM, Dato’ Hamidin Mohd Amin, ketua jurulatih Harimau Muda, Ong Kim Swee, barisan pengurusan pasukan dan juga para pemain.

Berucap di majlis tersebut, Datuk Rozalila berkata, “TM sentiasa komited dalam membantu meningkatkan mutu sukan negara khususnya bolasepak dan kami berharap melalui penajaan ini, pasukan bolasepak negara terus berusaha mencapai kecemerlangan lebih-lebih lagi dalam mempertahankan Piala AFF tahun ini”.

Ketua Pegawai TM, Dato’ Rozalila Abdul Rahman (kanan) menyerahkan replika cek FAM yang diwakili Setiausaha Agungnya, Lt. Jen (B) Datuk Azzudin Ahmad (kiri) dan Naib Presiden FAM, Dato’ Hamidin Mohd Amin (tengah)

 

Bagi Datuk Azzudin Ahmad, penajaan dan pemberian insentif ini sedikit sebanyak membantu FAM untuk mengukuhkan lagi pembangunan bolasepak negara dengan peluang untuk menjalani latihan luar negara kini bukan sahaja terhad untuk pasukan bawah 23 malahan untuk peringkat umur  bawahan yang lain.

Dalam pada itu, penyertaan Harimau Muda A di S-League musim depan masih belum dapat dipastikan selepas terdapat perancangan untuk membawa pasukan ini berkelana di luar negara.

Menurut ketua jurulatih, Ong Kim Swee, pasukannya mendapat tawaran untuk beraksi di Brazil selain pintu terbuka untuk kembali ke Slovakia. Walaubagaimanapun, keputusan akhir masih belum dapat dipastikan dan perkara ini akan diselesaikan secepat mungkin.

“Kita akan perhalusi setiap tawaran sebaik mungkin untuk beraksi di Eropah mahupon Brazil. Saya cuma berharap ia akan dapat diselesaikan secepat mungkin agar kita boleh merangka jadual dan persiapan untuk pasukan ini” jelas Ong Kim Swee lagi.