SHAH ALAM- Skuad England menjalani latihan ala ketenteraan selama 48 jam di kem tentera yang terletak di barat daya England.

Pengurusnya, Gareth Southgate membawa anak buahnya menjalani latihan seminggu di Pusat latihan Komando Marin Diraja di Devon.

Kesemua ahli The Three Lions menghabiskan masa di sana dengan melakukan cabaran seperti berkhemah di luar semalaman dan melengkapkan kursus berhalagan dengan memakai pakaian tentera yang lengkap.

Penjaga gol, Jack Butland mengakui lawatan ke kem tentera bersama pasukan England adalah “salah satu pengalaman paling berharga pernah saya miliki.”

Southgate memberitahu kepada laman web Persatuan Bola Sepak: “Kami mahu datang dan meletakkan pemain ini dalam persekitaran yang berbeza, dan pastinya persekitaran seperti ini merupakan persekitaran yang tidak dijangkakan.

“Kami mahu dedahkan kepada mereka dengan persekitaran elit bersama salah sebuah pasukan elit di dunia. Kami mahu mereka menyaksikan ada dunia lain di luar sana.”

Pasukan England bakal bertemu dengan Scotland dalam kelayakan Piala Dunia di Glasgow sabtu ini, sebelum bertemu Perancis dalam aksi persahabatan di Paris pada selasa-AFP