Connect with:




Subang Jaya Community Youth Football League (SJCYFL) telah mengadakan Kejohanan Liga Bola Sepak Komuniti Subang Jaya yang bertujuan mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan antara ibu bapa dan anak-anak serta mengenali jiran tetangga. Kejohanan ini juga dapat melahirkan bakat-bakat baru dalam arena bola sepak pada masa akan datang.

Kejohanan ini terbahagi kepada empat kategori liga iaitu bawah 14 (Premier), 12 (Senior), 10 (Major) dan 8 (Junior) yang melibatkan enam pasukan dalam setiap liga. Pasukan-pasukan terdiri daripada Gladiator, Samurai, Spartan, Viking, Apache dan Aztech.

Menurut Koordinator Kejohanan, Kesevan Krishnan, kejohanan ini dibuat untuk mengisi masa lapang anak-anak pada hujung minggu. Kejohanan ini sudah diadakan selama 19 tahun dan ia sangat positif untuk memberi kanak-kanak bermain dan bersenam pada hujung minggu.

“Kekangan masa ibu bapa bersama anak-anak juga menjadi punca kepada wujudnya kejohanan ini. SJCYFL cuba membantu anak-anak di sini supaya mereka dapat melakukan aktiviti yang berfaedah dan dapat meluangkan masa bersama keluarga daripada hanya duduk di rumah dan bermain gadjet.

“Untuk kejohanan ini, kami tidak mempunyai sebarang tajaan kerana kami tidak mahu terikat dengan kontrak mereka. Oleh itu, SJCYFL mengambil inisiatif lain untuk mewujudkan sukarelawan dan pengurus pasukan yang terdiri daripada ibu bapa dalam kalangan anak-anak itu sendiri”, kata Kesevan.

Kesevan juga berkata, kesemua pasukan akan mendapat pemain yang seimbang kerana kami akan membuat penilaian kepada setiap pemain.

“Pemain yang mempunyai potensi akan dipilih untuk mewakili Subang Jaya untuk menentang pasukan-pasukan lain di luar sana.

“Jika ada pemain yang mendapat tawaran untuk bermain di luar Subang Jaya, kami tidak akan menghalangnya untuk pergi demi kebaikan dan pengalamannya”, tambah Kesevan.

Kejohanan ini diadakan pada setiap hujung minggu dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) USJ 4 menjadi venue utama untuk kesemua perlawanan.

Foto : Syahir / Dunia Sukan