Connect with:




“Saya sentiasa mensasarkan kedudukan podium dan tidak merasai tekanan biarpun kini saya memegang status sebagai pemain ranking tertinggi Asia,” luah pemain, bowling nombor satu Asia, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman, 28, apabila menyatakan matlamat utama adalah untuk melakukan yang terbaik di Sukan Asia.

Menurutnya, prestasinya berada di kedudukan terbaik, dan mengharapkan tahun 2018 akan menjadi satu lagi tahun yang sempurna.

Dia juga berharap lebih banyak kejayaan dapat diraih tahun ini dengan aksi pertamanya akan bermula di Kejohanan Boling Antarabangsa Track AIK ke-38 di Stockholm, Sweden minggu ini.

Siti Safiyah bersama 10 lagi pemain bowling negara yang lain berlepas ke Sweden hari ini untuk menyertai kejohanan itu yang juga sebahagian daripada jelajah bowling Eropah.

Baginya, keputusan baik di kejohanan itu nanti akan dapat menaikkan motivasinya untuk mengharungi saingan sepanjang tahun ini terutamanya di temasya Sukan Asia di Indonesia pada bulan Ogos nanti.

“Pencapaian tahun lalu sangat baik dan saya amat gembira sekali,” kata pemain kelahiran Selangor yang berjaya menamatkan saingan Piala Dunia Boling AMF di tempat kedua yang berlangsung di Hermosillo, Mexico pada November lalu.

Selain Siti Safiyah, kunjungan skuad boling negara ke Eropah turut diperkuatkan dengan kehadiran Rafiq Ismail, Alex Liew, Ahmad Muaz Fishol, Timmy Tan, Adrian Ang, Syafiq Ridhwan, Sin Li Jane, Shalin Zulkifli, Esther Cheah dan Syaidatul Afifah Badrul Hamidi.

Kesemua mereka akan berentap di pusingan kelayakan terlebih dulu bermula esok di Bowl-O-Rama di Arsta, Sweden. Hanya 38 pemain layak mara ke pusingan berikutnya. Untuk aksi final, ia dijadualkan berlangsung pada Ahad ini.