Hari ini sukan layar di Malaysia akan mencatat sejarah baru apabila sirkit ‘Match-Racing’ negara yang pertama akan bermula di Pengkalan TLDM Lumut, Perak. Acara yang berlangsung sehingga 13 Mei itu akan menyaksikan tujuh ‘skipper’ beradu akal dan tenaga untuk memenangi siri pertama ini.

Perairan Lumut akan menyaksikan nama-nama besar dalam acara ‘match-racing’ seperti Jeremy Koo (Koo Racing Team), Hazwan Hazim Dermawan (Permai Hotel Match Racing Team), Masyuri Rahmat (Royal Malaysian Navy Match Racing Team 1), Nurul Ain Mohamad Isa (Ri-Yaz Heritag Sailing Team) dan Nik Ashraf Qaedi (Royal Malaysian Navy Match Racing Team 2) turun bersama krew masing-masing.

Tidak ketinggalan ialah dalam acara yang mencatat sejarah ini Rizal Mahadi (SetiaWest Marine) dan Harisfabillah Muhammad (Royal Malaysian Navy Match Racing Team 3).

Anak-anak watan Perak seperti Nurul Ain dan Hazwan yang mula mengasah bakat pelayaran mereka di Lumut pasti berharap kebiasaan dengan persekitaran akan membantu mereka mencatat kejayaan. Kedua-dua mereka pernah bergelar juara MMRC dengan Nurul memenanginya pada 2008 dan Hazwan mengikut jejaknya setahun kemudian.

Namun tumpuan sudah pasti ke arah juara bertahan, Jeremy dan Masyuri yang menamatkan saingan edisi 2011 di tempat ketiga namun hanya selepas memberi saingan sengit kepada Jeremy di peringkat separuh akhir.

Buat Nik Ashraf dan Harisfabillah, acara ini menyaksikan mereka menjadi ‘skipper’ buat pertama kali namun mereka juga yang selalu menjadikan Lumut sebagai tempat latihan sudah pasti berharap faktor tersebut membantu mereka untuk bersaing dengan ‘skipper’ yang lain.

Rizal pula yang menyepi dari acara ‘match-racing’ ini sejak dua tahun lepas berharap dia mampu memberi cabaran kepada pelayar-pelayar yang lain.

Sirkit ‘match-racing’ Malaysia yang pertama ini akan menyaksikan dua venue lain selain dari Lumut yang akan menjadi tuan rumah kepada pertandingan kapal layar di bawah kelolaan Persatuan Pelayar Malaysia (MYA) ini.

Pulau Indah di Selangor akan menjadi tempat persinggahan yang kedua pada 29 Jun hingga 1 Julai sementara kemuncak sirkit ini akan berlangsung di Pulau Duyong, Terengganu dari 20 hingga 23 September.

Pasukan yang mengutip mata tertinggi dari ketiga-tiga acara akan bergelar juara pertama sirkit ‘match-racing’ Malaysia dan akan mewakili negara dalam kejohanan penutup Alpari World Match-Racing Tour 2012, iaitu Piala Monsun yang akan berlangsung dalam bulan Disember.