Connect with:




Walaupun tidak meraih kemenangan dalam lima siri ujian menentang skuad hoki wanita India, pujian harus diberikan kepada skuad hoki wanita negara yang mempamerkan peningkatan dalam kelima-lima aksi tersebut. Empat kekalahan dan satu keputusan seri yang dilakar oleh Malaysian Tigress bukanlah satu keputusan yang positif, namun ini adalah sebahagian ujian untuk menilai kelemahan pasukan sebelum berlepas ke Ireland untuk Kejohanan FIH Siri Akhir Wanita 2019.

 

Mendapat pujian daripada jurulatih

Jurulatih Malaysian Tigress, Dharmaraj Abdullah memuji para pemainnya yang beraksi dengan baik walaupun gagal meraih sebarang kemenangan dalam lima siri ujian bertemu pasukan India. Beliau melihat ada peningkatan daripada pemainnya selepas kali terakhir beraksi di pentas kompetitif di Sukan Asia Jakarta Palembang 2018.

Dharmaraj turut memuji persembahan terbaik pasukannya selepas tidak beraksi dalam tempoh yang agak lama. Siri ujian ini dapat dijadikan platform terbaik untuk mengenalpasti kelemahan dan satu pendedahan kepada para pemain.

 

Beri peluang semua pemain beraksi

Dalam perlawanan siri ujian itu, Dharmaraj turut memberi peluang kepada semua pemain untuk beraksi. Beliau mahu semua pemain dapat sesuaikan diri dengan corak permainan dan dapat membantu pasukan bila mereka dipilih untuk bermain.

Beliau turut menegaskan bahawa beliau lebih mementingkan untuk memberikan semua pemain beraksi untuk mengasah bakat dan membentuk kelompok pemain terbaik yang mampu memberikan sokongan antara satu sama lain walaupun terpaksa berdepan kekalahan dengan jaringan yang besar.

 

Mula perbaiki kelemahan

Skuad Malaysian Tigress tewas pada aksi pertama dengan keputusan 0-3 dan tewas pada perlawanan kedua dengan 0-5. Namun, mereka mula memperbaiki kelemahan dan mencipta lebih banyak peluang dan hasilnya pada perlawanan ketiga mereka berjaya mengikat India dengan jaringan 4-4. Walaubagaimanapun, mereka perlu mengenalpasti kelemahan di bahagian pertahanan dan penyerang untuk terus memberikan saingan kepada pasukan-pasukan lain.

Selepas mengikat India pada siri ujian ketiga, Malaysian Tigress mula menampakkan saingan kepada India selepas tewas tipis pada siri ujian keempat dan kelima dengan jaringan 0-1 hasil kesilapan yang dilakukan pemain negara.

Namun ia satu perkara yang sangat membanggakan buat anak buah Dharmaraj yang mampu menyaingi pasukan seperti India walaupun hanya dalam siri ujian.

 

 

Cuba corak permainan baru

Sebelum bertolak ke Ireland untuk Kejohanan FIH Siri Akhir Wanita 2019, Dharmaraj telah menerapkan corak permainan baru kepada pemainnya. Walaupun pemainnya masih dalam proses mengadaptasikan perubahan besar yang dilakukannya, ada sesetengah pemain telah mula memahami struktur baru itu.

Ada juga pemain yang masih melakukan kesilapan terutamanya pada aksi pertama dan kedua, tetapi para pemain negara mula menunjukkan peningkatan pada aksi ketiga sehingga aksi terakhir. Namun Dharmaraj menegaskan bahawa corak permainan itu masih perlu diasah supaya pemain lebih memahami dan selesa dengan cara permainan tersebut.

 

FIH tolak penggunaan rujukan teknologi video

Dalam kesibukan aksi siri ujian oleh Malaysian Tigress, Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) dikejutkan dengan penolakan penggunaan rujukan teknologi video (video referral) oleh Persatuan Hoki Antarabangsa (FIH) di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada 26 April sehingga 4 Mei 2019.

Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal berharap FIH mengkaji semula keputusan itu walaupun FIH telah menghantar surat mengatakan tiada penggunaan rujukan video dalam semua perlawanan FIH Siri Akhir 2019 disebabkan tidak semua penganjur memiliki teknologi itu.

MHC telah menyiapkan segala keperluan penggunaan rujukan video. MHC merasakan tidak adil pertandingan di peringkat seperti ini tidak menggunakan teknologi itu.

 

Foto : Facebook Malaysian Hockey Confederation