Pemain muda China, Du Pengyu dilihat sebagai cabaran utama buat pilihan utama kejohanan Datuk Lee Chong Wei dalam saingan peringkat kumpulan perseorangan lelaki Kejohanan Akhir Siri Super Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Kejohanan itu, yang bermula esok hingga Ahad di Shenzhen, China, menyaksikan pemain nombor satu dunia itu diundi dalam kumpulan A bersama Du Pengyu, Hu Yun dari Hong Kong dan jaguh Thailand Boonsak Ponsana.  Majlis undian diadakan di Pusat Sukan Shenzhen Bay, Shenzhen, China hari ini.

Chong Wei, yang dijadualkan menentang Du Pengyu esok, perlu berhati-hati dengan ketangkasan pemain nombor sembilan dunia itu yang ternyata mampu memberi kejutan apabila mara ke perlawanan akhir untuk menentangnya pada Kejohanan Terbuka Denmark pada Oktober lepas.  Dalam perlawanan akhir itu, Chong Wei terpaksa mengharungi tiga set sebelum menang tipis 15-21, 21-12, 21-19.

Chong Wei yang memburu kejuaraan keempat kejohanan itu, juga berdepan dengan seorang lagi pemain China iaitu pilihan kedua, Chen Long, jika berjaya ke peringkat akhir.

Sementara itu, Chen Long dijangka mudah mengungguli Kumpulan B apabila diletakkan bersama Kenichi Tago dari Jepun, Hans-Kristian Vittinghus dari Denmark serta pemain kebangsaan, Liew Daren.

Liew bakal bertemu Tago dalam perlawanan pertama peringkat kumpulan esok.  Laluan sukar menanti beregu utama negara Koo Kien Keat/Tan Boon Heong yang diundi dalam ‘kumpulan maut’ iaitu Kumpulan A bersama beregu China Cai Yun/Fu Haifeng, Kim Ki Jung/Kim Sa Rang dari Korea Selatan dan beregu nombor satu dunia Mathias Boe/Carsten Mogensen dari Denmark.

Beregu kedua negara Hoon Thien How/Tan Wee Kiong pula akan beraksi dalam Kumpulan B yang turut dibarisi Hiroyuki Endo/Kenichi Hayakawa dari Jepun, beregu Thailand Bodin Issara/Maneepong Jongjit dan Hong Wei/Shen Ye dari China.  Koo dan Tan selaku pilihan utama akan berdepan beregu nombor tiga dunia Cai Yun dan Fu Haifeng esok, manakala Hoon dan Tan dijadualkan menentang Endo dan Hayakawa.

Bagi beregu campuran negara Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying, yang diletakkan sebagai pilihan kedua kejohanan, gandingan itu dijangka mudah melepasi halangan pertama dalam Kumpulan B esok apabila dijadualkan bertemu Muhammad Rijal dan Debby Susanto dari Indonesia.

Turut tersenarai dalam kumpulan sama ialah beregu China, Zhang Nan/Zhao Yunlei dan Joachim Fischer Nielsen/Christinna Pedersen dari Denmark.  Bagi Kumpulan A, saingan beregu campuran terdiri daripada beregu nombor satu dunia Xu Chen/Ma Jin dari China, gandingan Indonesia Tontowi Ahmad/Lilyana Natsir, Sudket Prapakamol/Saralee Thoungthongkam dari Thailand dan Yoo Yeon Seong/Jang Ye Na dari Korea Selatan.

Kejohanan Akhir Siri Super Dunia BWF menawarkan hadiah wang tunai berjumlah USD500,000 (RM1.5 juta).  Ia menampilkan lapan perseorangan dan beregu terbaik daripada setiap kategori yang telah mengumpul mata tertinggi sepanjang kejohanan Siri Super tahun ini- BERNAMA