Malam tadi telah berlangsung enam perlawanan Liga Perdana dan dua perlawanan Liga Super. Sime Darby mencatatkan kemenangan besar seterusnya mendekatkan lagi diri dengan dua pasukan teratas liga, ATM dan Pahang. Untuk aksi Liga Super pula, Kedah memastikan tiga mata berharga setelah menumbangkan Perak di laman sendiri sementara Kuala Lumpur terus dirundung malang.

Di Stadium MP Selayang, Sime Darby mempamerkan aksi terbaik mereka apabila menang 5-0 ke atas NS Betaria. Gol pertama Sime Darby hadir pada minit ke-15 apabila Razali Umar Kandasamy berjaya melepaskan diri dari kawalan seorang pertahanan sebelum menewaskan penjaga gol lawan. Pemain tengah import, Sengbah Kennedy menambah gol buat pasukannya pada minit ke-65 apabila menanduk masuk hantaran tinggi rakan sepasukan.

Tiga lagi gol Sime Darby hadir menjelang sepuluh minit terakhir sebelum perlawanan ditamatkan. Mohd Irme Mat menjaringkan dua gol pada minit ke-80 dan 85 sebelum penyerang,Mohd Faiz Isa menambah lagi derita NS Betaria di minit ke-90 untuk gol kelima tuan rumah. Sime Darby kembali memperolehi tiga mata penuh setelah tiga kali gagal melakukannya dalam perlawanan sebelum ini.

ATM tersungkur di laman sendiri apabila dikejutkan pasukan tangga kelima liga, Pos Malaysia dengan keputusan 0-2 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya. Gol Pos Malaysia diperolehi menerusi penalti G. Puaneswaran dua minit sebelum rehat dan juga Mohd Hanifuddin Abd Rahman pada minit ke-66. Ini merupakan kekalahan kedua ATM dalam 10 aksi liga setakat ini.

Sementara dalam aksi Liga Super, Kedah terus memperbaiki kedudukan liga mereka apabila tampil cemerlang menumbangkan Perak 3-0 di Stadium Darul Aman, Alor Setar. Gol tuan rumah hadir di penghujung babak pertama menerusi jaringan penyerang import, Hamidan Mohammed hasil sepakan penjuru kapten pasukan, Baddrol Bakhtiar.

Kedah terus garang mencari gol sementara penjaga gol mereka, Helmi Eliza pula terus cemerlang di pintu gol menahan asakan Seladang. Pada minit ke-78, jaringan sendiri Mohd Syazwan Roslan membolehkan tuan rumah selesa di depan dan lima minit kemudian muncul Hamidan sekali lagi menjaringkan gol ketiga Kedah membolehkan tuan rumah memperolehi kemenangan berharga.

Negeri Sembilan pula menambah derita Kuala Lumpur apabila menang tipis 2-1 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Hang Jebat, Melaka. Dua gol Negeri Sembilan dijaringkan penyerang sensasi, Ahmad Shakir Ali dan Shahurain Abu Samah sementara gol saguhati Kuala Lumpur hadir menerusi penyerang, Afiq Azmi.

Keputusan Penuh:
Liga Super 2012
Kedah 3-0 Perak
Kuala Lumpur 1-2 Negeri Sembilan
Liga Perdana 2012
Sime Darby 5-0 NS Betaria
ATM 0-2 Pos Malaysia
Pahang 2-3 PDRM
Harimau Muda B 0-0 MBJB FC
Johor 4-1 MP Muar
Perlis 1-2 USM FC