“KASIHANILAH penyokong Selangor yang sentiasa memberi sokongan kepada pasukan kesayangan mereka!,” kata bekas pemain The Red Giants era 70an, Khalid Ali.

Justeru, Khalid yang juga bekas pemain skuad Olimpik Moscow 1980 itu mengharapkan kedua-dua pihak baik Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) mahupun kerajaan negeri supaya dapat membuang ego masing-masing dan memikirkan mengenai kebajikan pasukan itu yang sudah lama menjadi gergasi dalam kancah bola sepak tempatan.

Katanya, seruan penyokong yang begitu bersungguh-sungguh dalam usaha agar Selangor dapat kembali beraksi di Stadium Shah Alam juga akan menjadi sia-sia sekiranya kedua-dua pihak terbabit tidak mengambil langkah penyelesaian.

“Secara ringkasnya, isu ini hanya dapat diselesaikan dengan pertemuan antara FAS dan juga kerajaan negeri dan mereka perlu segera mengeluarkan pelan tindakan yang dapat memastikan supaya Selangor dapat menggunakan stadium keramat itu sebagai gelanggang rasmi mereka.

“Janganlah terlalu mementingkan diri sendiri kerana mereka perlu lihat kepada pasukan Selangor dan juga kesungguhan penyokong yang menggerakkan usaha untuk melihat rancangan ini dapat dijayakan.

“Selain itu, seluruh negara tahu bahawa sejak dari dulu lagi, Selangor dan Stadium Shah Alam tidak dapat dipisahkan. Jadi sebagai bekas pemain yang pernah menyarung jersi Selangor, sudah pasti saya juga mahu pasukan ini kembali beraksi di sana,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, Badan Bertindak Penyokong Selangor (BBPS) terus mendesak kerajaan negeri supaya memberi kebenaran kepada juara Piala Malaysia 33 kali itu untuk menjadikan Stadium Shah Alam sebagai gelanggang rasmi mereka musim ini.

Naib Presiden BBPS, Mohamad Haniff Rana Manzor menjelaskan, penyokong Selangor kini menjadi mangsa pertikaian antara kerajaan negeri dan FAS yang bermula sejak musim lalu.

Justeru, beliau menganggap sudah tiba masanya kerajaan negeri mengembalikan semula Stadium Shah Alam kepada rakyat dan mengetepikan sebarang isu antara kedua-dua pihak.

Untuk rekod, Selangor tidak dibenarkan beraksi di Stadium Shah Alam sejak musim lalu.

Nasib sama menimpa pasukan terbabit musim ini hingga memaksa FAS berusaha mendapatkan Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras untuk dijadikan sebagai gelanggang rasmi.

sumber: Harian Metro

Foto kredit : bm(dot)therakyatpost(dot)com