Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Dato Dr.Khairi Zawi menasihati atlet-atlet negara agar mengikut nasihat pakar bagi mengelakkan kecederaan jangka panjang.

Khairi mengulas mengenai isu luahan atlet yang kecewa digugurkan pada Sukan SEA selepas mendapat nasihat pakar sains sukan baru-baru ini.

“Mereka harus melihat dari jangka masa panjang. Sukan SEA bukan penamat sebab masih ada temasya lebih besar seperti Sukan Asia dan Sukan Komanwel.

“Nasihat yang diberikan oleh pakar-pakar perubatan sukan harus diterima kerana ini melibatkan kebajikan mereka. Kita tidak mahu kecederaan lebih teruk berlaku pada mereka.

Tambah Khairi lagi, semangat membara untuk beraksi itu sesuatu yang bagus namun atlet harus mengutamakan kepentingan dari segi kecergasan terlebih dahulu seperti yang telah dibuktikan bintang-bintang sukan antarabangsa.

“Sebagai contoh, Rafael Nadal. Tahun lalu di Roland Garros, dia beraksi cemerlang pada dua perlawanan awal.

“Bagaimanapun atas nasihat pakar, Nadal menarik diri pada pusingan ketiga walaupun peminat melihat Nadal dalam keadaan yang baik, cergas. Begitu juga Roger Federer, berapa lama beliau berehat sehingga terpaksa melupakan banyak kejohanan utama.

Khairi ditemui selepas menghadiri majlis menandatangani memorendum persefahaman (MOU) antara ISN dengan 3 pihak iaitu Yakult, Monash University dan UMP Consultancy.

Mengenai MOU dengan Yakult, syarikat minuman kultur dari Jepun itu akan menjadi minuman probiotik rasmi ISN dengan 100,000 botol Yakult Ace Light akan dibekalkan bbermula Ogos 2017 hingga Ogos 2020.

Monah University pula akan menjalinkan kerjasama dari segi penyelidikan dan perkongsian informasi termasuk mengadakan seminar. Sementara UMP Consultancy pula akan membangunkan satu perisian pintar dikenali sebagai ‘ISN Sports Talent Compass’ yang akan mengenalpasti potensi seseorang atlet dari usia 9 tahun berdasarkan data yang diberikan.