Sigurdsson Kini Diikat Everton

Everton bersetuju untuk mengikat pemain tengah Swansea dari Iceland, Gylfi Sigurdsson dengan menandatangani kontrak pada bayaran sekitar 45 juta pound (RM248 juta).

Menurut laporan Media British,  pemain berusia 27 tahun itu memainkan peranan penting ketika Swansea cuba keluar daripada zon penyingkiran pada edisi sebelum ini.

Sigurdsson dijangka menjalani ujian perubatan di Everton hari ini sebelum menyertai pasukan terbabit dengan rekod bayaran perpindahan kelab Merseyside itu.

Dia menyertai latihan pasukan utama selepas Swansea kembali dari AS namun dia tidak tampil dalam aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris di Southampton, Sabtu lalu.

Difahamkan, tawaran kelab berkenaan pernah ditolak sebanyak dua kali tatkala Swansea mahukan 50 juta pound (RM276 juta).

Sebagai rekod, bayaran perpindahan tertinggi Everton sebelum ini adalah £31 juta (RM171 juta) buat Romelu Lukaku, yang dijual kepada Manchester United dengan rekod Britain £75 juta (RM414 juta) pada musim panas kali ini.

Foto Kredit: Premier League Website