Connect with:




Pasukan satelit Yamaha, Petronas Yamaha Sepang Racing bakal menerima dua individu terbaik bagi memacu pasukan tersebut bermula musim depan sebagai tanda sokongan penuh yang diberikan Pengarah Urusan Yamaha Racing Team, Lin Jarvis.

Jarvis berkata pihaknya akan memberikan bantuan 100 peratus kepada pasukan satelit itu dan sebagai permulaan adalah membawa masuk dua individu penting iaitu Wilco Zeelenberg dan Ramon Forcada.

Menurut Jarvis, Zeelenberg sebelum ini merupakan pengurus kepada pelumba Ducati, Jorge Lorenzo untuk tempoh enam tahun sebelum beralih angin sebagai penganalisis prestasi pelumba Yamaha, Maverick Vinales musim lalu.

Beliau (Zeelenberg) menjadi mata serta telinga dalam mendapatkan pelarasan terbaik jentera akan bertugas dengan pasukan satelit Yamaha bagi membantu dua pelumbanya Franco Morbidelli dan Fabio Quartararo.

Sebaik tamat kontrak bersama Vinales musim ini, Zeelenberg yang akan dibantu Forcada selaku ketua kru akan memulakan tugas bersama pasukan satelit tersebut.

“Kami akan memberikan bantuan semaksimum mungkin kepada pasukan satelit ini (Yamaha) kerana ianya pasukan yang masih baru dalam saingan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP), jadi ia bukanlah tugas mudah buat mereka.

“Dua kru utama kami akan dibawa masuk iaitu Forcada dan Zeelenberg bagi membina satu pasukan mantap. Saya rasa dengan adanya staf berpengalaman serta sokongan penuh daripada Yamaha, pasukan tersebut mampu memberikan yang terbaik,” katanya selepas majlis menandatangani kerjasama antara Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dengan Yamaha Motor semalam.

Majlis turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif Dorna, Carmelo Ezpeleta, Pengerusi SIC, Tan Sri Azman Yahya serta Ketua Kumpulan Yamaha MotoGP, Kouji Tsyua.

Pada masa yang sama, Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali  berkata pihaknya meletakkan sasaran yang realistik buat dua pelumba mereka iaitu untuk muncul sebagai pelumba muka baru terbaik dan pelumba pasukan bebas terbaik (satelit).

“Untuk tahun pertama kami Cuma mahu pastikan pasukan ini betul-betul bersedia dan dapat bermula dengan baik. Saya tahu pelumba seperti Quartararo mempunyai impian bergelar pelumba baru terbaik dan  saya amat yakin itu juga dimahukan pasukan ini.

“Sementara Morbidelli pula, kami ingin melihat dia menjadi pelumba pasukan bebas terbaik buat musim depan dan ini cumalah objektif awal buat pasukan ini untuk musim depan,” ujar Razlan.

 

Foto : Facebook Yamaha MotoGP

Sumber : Fox Sports