Selepas berjaya menganjurkan Grand Prix Motosikal Malaysia 2012 yang menyaksikan sejarah dicipta apabila Zulfahmi Khairudin berjaya menjadi penunggang negara pertama menaiki podium, Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bertekad untuk menjadikan penganjuran acara-acara tahun 2013 lebih meriah.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali memberikan Penghargaan istimewa kepada lebih dari 125,000 orang peminat yang membanjiri litar sewaktu kejohanan berlangsung dari 19 hingga 21 Oktober baru-baru ini. Dia berharap agar sokongan yang serupa dapat diberikan untuk edisi ke 23 yang dijadualkan berlangsung dari 11 hingga 13 Oktober 2013.

Perlumbaan pusingan 16 itu akan memulakan peringkat Asia Pasifik yang turut merangkumi Grand Prix Australia (20 Oktober) dan Grand Prix Jepun (27 Oktober). Peringkat itu juga akan menjadi penutup kepada kalendar 19 perlumbaan yang dikeluarkan oleh FIM.

Kejayaan podium Zulfahmi turut ditambah lagi dengan persembahan mantap oleh pelumba ‘wild-card’ Moto2 negara, Hafizh Shahrin Abdullah mengujakan lebih dari 77,000 penonton dan Datuk Razlan pasti mereka bangga kerana hadir dan menyaksikan sejarah dicipta di hari perlumbaan.

Menurut Datuk Razlan, persiapan untuk kalendar 2013 sudah bermula dengan Grand Prix Formula 1 Malaysia PETRONAS 2013 menjadi fokus utama SIC. Dengan perlumbaan yang dijadualkan berlangsung pada 22-24 Mac 2013 turut menjadi edisi ke 15 penganjuran, SIC berusaha menjadikannya sesuatu yang penuh sensasi.

Beliau menyatakan pelbagai program sudah dirancang termasuklah parti jalanan, pameran otomobil, konsert dan hiburan-hiburan lain serta jualan dan majlis gala makan malam. Semuanya akan diumumkan di ‘World Travel Market’ (WTM) di London tidak lama lagi.

Malaysia sebagaimana lazimnya akan menjadi destinasi kedua dalam kalendar Formula One FIA 2013 selepas perlumbaan pembukaan di Australia pada 17 Mac. Untuk musim 2013 sebanyak 20 perlumbaan telah dirancang oleh FIA.