Connect with:




Kehangatan saingan pada waktu malam mampu dikembalikan ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) apabila lampu limpah terbaik yang disediakan pihak pengurusan SIC dilihat mampu menarik beberapa perlumbaan berprestij kembali dianjurkan di Malaysia.

Meskipun hanya akan berlangsung pada 2020 nanti, perlumbaan berprestij di Jepun iaitu Super GT Jepun telah mengumumkan persetujuan untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi perlumbaan seterusnya setelah kali terakhir menganjurkan acara itu di Malaysia adalah tujuh tahun yang lalu. Lebih menarik apabila ianya akan dilangsungkan pada waktu malam.

Perlumbaan Super GT Jepun yang pertama dianjurkan di Malaysia adalah pada tahun 2000 dimana ianya diadakan sebagai acara pertunjukkan sebelum menutup tirainya pada tahun 2013 yang merupakan tahun terakhir kejohanan itu dianjurkan di Malaysia dan ianya berlangsung pada waktu siang.

Bagi melangsungkan perlumbaan di Malaysia, penganjur acara, HARO Sports and Entertainment telah mencapai persetujuan dengan penganjur siri GTA dan telah mengesahkan SIC dipilih menjadi destinasi perlumbaan tersebut.

Kembalinya Super GT Jepun ke bumi Malaysia nyata mengujakan pengerusi GTA, Masaaki Bandoh yang mengharapkan kerjasama dari semua pihak untuk memastikan perlumbaan tersebut berlangsung meriah.

“Kami harap bukan hanya pemandu, pasukan dan pengeluar kereta tetapi semua yang terlibat dalam Super GT akan berkerja bersama dengan penganjur HARO dan staf tempatan yang terlibat dengan operasi di Sepang.

“Tujuan utama adalah untuk membantu masyarakat Malaysia berkongsi keseronokan sukan permotoran serta mewujudkan acara perlumbaan berasaskan perkongsian persefahaman dan budaya automobile.

“Dalam pada itu saya turut berharap menerusi Super GT kami boleh menyumbang untuk saling mempromosikan antara satu sama lain, sekali gus akan membina persahabatan antara Malaysia dan Jepun,” jelas Bandoh.

“Rakan pengurusan HARO, Fahrizal Hasan bersama pengerusi GTA, Masaaki Bandoh”

Ralf Schumacher dan Pedro de la Rosa merupakan antara pelumba yang memulakan karier dalam saingan Super GT Jepun sebelum menempa nama di pentas Formula Satu (F1).

Selain itu, Super GT Jepun turut menjadi medan buat bekas pelumba F1 meneruskan karier perlumbaan mereka seperti yang dilakukan bekas pelumba McLaren Honda, Jeson Button.

“Gadis litar atau ‘GT Queens’ penyeri saingan Super GT Jepun.”

Super GT Jepun yang cukup terkenal dengan pelumba dan pasukan turut mempunyai tarikan seperti kehadiran gadis litar atau lebih dikenali dengan ‘GT Queens’.

Selain menjadi penyeri kepada perlumbaan serta litar, ‘GT Queens’ turut memainkan peranan penting dalam mempromosikan perlumbaan  kepada media serta orang ramai.

 

Foto : Facebook Super GT

Sumber : SuperGT.net