Connect with:




Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini telah mencapai persetujuan untuk mencadangkan gol pemain muda kebangsaan, Muhammad Syahmi Safari ketika perlawanan separuh akhir kedua Piala Suzuki AFF 2018 pada 5 Disember 2018 dicalonkan ke Anugerah Puskas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) 2019.

Menurut kenyataan Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam keputusan untuk menghantar cadangan pencalonan itu dibuat selepas mesyuarat peringkat Sekretariat Agung FAM, hari ini yang turut disertai Presiden FAM, Dato’ Haji Hamidin Haji Mohd Amin dan beliau sendiri selaku Setiausaha Agung FAM telah mencapai persetujuan untuk perkara tersebut.

Susulan daripada keputusan itu, FAM akan menghantar surat rasmi kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bagi mencadangkan gol dijaringkan Syahmi, 21, menerusi satu gerakan berpasukan pada minit ke-28 ketika perlawanan bertemu Thailand di Stadium Rajamangala, Bangkok itu dapat tersenarai sebagai salah satu calon anugerah berkenaan. FAM turut akan melampirkan salinan video gol tersebut untuk dinilai oleh FIFA.

Biarpun mengetahui bahawa senarai 10 calon gol tercantik untuk Anugerah Puskas FIFA 2019 itu nanti akan dicadangkan dan dipilih sendiri oleh FIFA dan jawatankuasa pemilihannya, FAM berpendapat surat cadangan pencalonan tetap perlu dihantar kepada FIFA sebagai tanda sokongan FAM dan bagi memastikan gol berkenaan mendapat perhatian FIFA.

Berdasarkan keunikan gol yang terhasil menerusi tujuh hantaran melibatkan tujuh pemain bermula daripada penjaga gol, Farizal Marlias sebelum disudahkan dengan sepakan kaki kanan menarik oleh Syahmi, FAM berharap ia akan berjaya tersenarai sebagai salah satu daripada 10 calon untuk Anugerah Puskas FIFA 2019.

Sebagai rekod, FAM sebelum ini pada 22 Februari 2016 turut menghantar surat cadangan pencalonan kepada FIFA untuk gol dihasilkan bekas pemain Pulau Pinang, Mohd Faiz Subri dan akhirnya membawa kejayaan kepada jaringan menerusi sepakan percuma unik itu muncul pemenang Anugerah Puskas FIFA 2016.

Foto : AFF Suzuki Cup 2018