Connect with:




Saingan Senheng Purple League Korporat (SPLC) membuka tirai hujung minggu ini di Sports Arena Sentosa dengan Top Glove memperagakan taring mereka untuk muncul sebagai pendahulu awal Kumpulan B.

Pada akhir saingan dua hari itu, pengeluar sarung tangan getah terkemuka dunia itu, mencatatkan dua kemenangan, 9-6 ke atas AEON Credit Service semalam dan 13-5 ketika berdepan OPPO hari ini.

Top Glove bermula garang apabila Pengurus Kanan (Sumber Manusia), Lim Jin Feng menundukkan Tan Chun Beng 11-2, 11-5, 11-5 dalam perseorangan lelaki sebelum beregu wanita, Ang Chin Wen-Daphne Ng Chew Yen melebarkan jurang selepas merakamkan kemenangan 11-2, 11-1, 11-1 ke atas Hee Chei Teng-Low Mei Chen.

Chia Su Li-Lee Pui Min kemudian meneruskan dominasi Top Glove dalam beregu campuran dengan kejayaan 11-1, 11-6, 11-5 ke atas Chaw Shih Mei-Chan Jia Wei bagi pendahuluan mutlak 9-0 disusuli dengan kebangkitan yang dicipta bekas pemain kebangsaan, Ismail Saman yang digandingkan bersama Leo Kwok Xiong berjaya menundukkan beregu lelaki OPPO, Foong Kok Wah-Kow Jian Foong 3-2 (11-8, 11-5, 5-11, 9-11, 11-9).

Tatkala kemenangan sudah disahkan, Pengerusi Eksekutif dan Pengasas, Tan Sri Dr. Lim Wee Chai mencuri tumpuan apabila membuktikan bakatnya masih tidak dimamah usia menerusi gandingannya bersama Muhd Mubin Shafiq Mattar dalam beregu lelaki 2 (gabungan usia 80 & ke atas) meskipun tewas 1-3 kepada pasangan OPPO, Chick Choon Fai-Chick Choon Meng.

“Sebelum saingan bermula, kami mensasarkan untuk muncul dua pasukan teratas kumpulan, tetapi alang-alang bila kami sudah berada di kedudukan ini, saya rasa kami seharusnya mensasarkan untuk menjuarai kejohanan ini,” kata pengurus pasukan, Howard We Hiong Ching.

“Pasukan ini dibarisi oleh staf kami yang terdiri daripada bekas pemain kebangsaan, negeri dan daerah.

“Tan Sri (Dr Lim) sendiri adalah pemain daerah. Kami sudah melakukan persiapan terbaik bagi menghadapi kejohanan ini. Kami bermain bersama-sama dua kali seminggu dan tiada keperluan untuk kami membawa pemain luar bagi menghadapi kejohanan ini,” tambahnya.

Terdahulu dalam Kumpulan A, LionMas menamatkan hari dengan dua kemenangan daripada dua selepas menundukkan Pensonic 11-2 untuk meletakkan satu kaki dalam pusingan separuh akhir selepas kejayaan 11-6 ke atas redPHOENIX semalam. Mereka mendahului saingan dengan 22 mata kemenangan.

Pasukan di kedudukan kedua dan ketiga kumpulan disandang masing-masing Pensonic dan redPHOENIX dengan kedua-dua pasukan berkongsi jumlah mata sama diikuti rapat oleh senQ di tempat keempat, dipisahkan dengan satu mata.

Format pertandingan menyaksikan dua pasukan teratas Kumpulan A & B akan mara ke separuh akhir, sekaligus menghampiri tiket playoff bagi melayakkan diri ke saingan sebenar liga elit profesional Malaysia – Purple League 2020.

Perlawanan pusingan round-robin SPLC2019 akan menemui pengakhirannya Sabtu depan (16 Nov) untuk menentukan barisan empat pasukan yang akan bersaing dalam separuh akhir sebelum pusingan empat terakhir dan final yang akan dilangsungkan pada Ahad (17 Nov) di Sports Arena Sentosa yang akan menyaksikan juara dinobatkan bagi edisi sulung SPLC.

Keputusan Hari pertama & kedua SPLC2019
Sabtu – 9/11/2019
LionMas 11 – 6 redPHOENIX
Pensonic 9 – 7 senQ
Top Glove 9 – 6 AEON Credit Service
OPPO 7 – 13 Team AIG

Ahad – 10/11/2019
Pensonic 6 – 11 LionMas
redPHOENIX 9 -7 senQ
OPPO 5 – 13 Top Glove
AEON Credit Service 7 – 9 Team AIG