Jaguh basikal negara, Azizulhasni Awang dan ratu terjun, Cheong Jun Hoong dijangka menjadi pilihan untuk dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan sempena Anugerah Sukan Negara (ASN) 2017, malam ini

Ini berdasarkan kejayaan mereka muncul juara dunia dalam acara masing-masing tahun lalu dengan Azizulhasni menamatkan penantian 10 tahun apabila menjuarai acara keirin dalam Kejohanan Dunia di Hong Kong, April lalu sekali gus memenangi Jersi Pelangi yang diidamnya.

Jun Hoong pula memecah dominasi penerjun China sekali gus menjadi penerjun pertama negara meraih pingat emas dalam acara 10 meter platform wanita di Kejohanan Akuatik Dunia di Budapest, Hungary Julai lalu.

Bagaimanapun, Azizulhasni berdepan dengan cabaran hebat lima lagi calon antaranya atlet bina badan, Mohd Syarul Azman Mahen, Muhammad Hakimi Ismail (olahraga), Gavin Kyle Green (golf), Mohd Fitri Saari (hoki), Mohamad Rafiq Ismail (bowling) dan Khairul Hafiz Jantan (olahraga).

Sekiranya Azizulhasni yang digelar “The Pocket Rocketman” terpilih, ia adalah kali ketiga anak kelahiran Terengganu itu dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan melepas mengungguli gelaran berprestij itu dua tahun berturut-turut pada 2009 dan 2010.

Namun, kejayaan Syarul mempertahankan gelaran Mr Universe di Kejohanan Bina Badan Dunia dan Sukan Fizik di Mongolia Oktober lalu turut meletakkannya dirinya sebagai calon pilihan mengulangi zaman kegemilangan Sazali Samad.

Jun Hoong pula akan bersaingan dengan lima atlet iaitu, S Sivasangari (skuasy), Koi Sie Yan (gimrama), Fatehah Mustapa (berbasikal), Emma Firyani Saroji (boling padang) dan Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman (bowling).

Seandainya penerjun itu dinobatkan Olahragawati Kebangsaan, atlet berusia 27 tahun itu bakal mengulangi kejayaan Pandelela Rinong pada 2015.

Selain Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan, ASN 2017 turut bakal menobatkan Olahragawan Para dan Olahragawati Para Kebangsaan, Pasukan Lelaki dan Wanita Kebangsaan, Jurulatih Lelaki dan Wanita Kebangsaan, Anugerah Tokoh Sukan, Kepimpinan Sukan dan Anugerah Khas.

Sebanyak 83 senarai calon untuk 11 kategori ditawarkan pada edisi kali ini dengan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V berkenaan mencemar duli sebagai tetamu kehormat pada majlis gilang-gemilang itu.

Sumber: Harian Metro