Perlawanan akhir Piala Malaysia 2011 akan menyaksikan siapa lebih kental mengawal gawang masing-masing daripada dibolosi lawan. Sharbinee Allawee atau Farizal Marlias?

Kedua-dua mereka juga adalah penjaga gol skuad kebangsaan ketika ini dan turut dipanggil menyertai Latihan Pusat Kebangsaan untuk persediaan menghadapi pasukan India pada 13 dan 16 November depan.

Dengan kedua-dua pasukan memiliki jentera serangan yang terbukti berkesan, kini terpulang pada ketangkasan sepasang tangan orang terakhir di benteng pertahanan iaitu penjaga gol untuk menafikannya.

Sharbinee Allawee telah menjaga gawang Terengganu sepanjang kempen Piala Malaysia berlangsung. Dengan hanya tujuh bolos dalam sepuluh perlawanan yang mereka lalui, terbukti bahawa gawang Terengganu agak sukar dibolosi lawan.

Dengan pertahanan yang beraksi cemerlang terutamanya Marzuki Yusof dan Faizal Muhammad, tugas Sharbinee nampak lebih mudah dan hanya perlu menafikan percubaan jauh sekiranya lawan gagal melepasi benteng pertahanan mereka.

Jurulatih penjaga gol skuad kebangsaan, Mohd Faozi Mukhlas berpendapat Sharbinee mempunyai keupayaan melayangkan badan dengan baik.

“Saya berani katakan bahawa dia adalah satu-satunya penjaga gol yang terbaik apabila melayangkan badannya,” katanya.

Berbanding Farizal Marlias, Sharbinee lebih banyak peluang beraksi. Farizal adakalanya direhatkan oleh jurulatih Negeri Sembilan, Azraai Khor Abdullah agar dapat memberi peluang pada seorang lagi penjaga gol mereka, Farizal Harun.

Menurut Azraai Khor, penggunaan kedua-dua penjaga gol adalah untuk mewujudkan persaingan positif antara mereka berdua. Dan dengan lapan bolos dalam semua perlawanan yang dilalui, kedua-dua mereka boleh dikatakan beraksi baik di gawang.

Bagi Mohd Faozi, Farizal adalah seorang penjaga gol yang pantas pergerakannya dan sentiasa bergerak dalam kawasan golnya.

“Badannya yang ringan memberinya kelebihan untuk bergerak tanpa perlu banyak diving atau merebahkan badan. Dia juga mempunyai keupayaan menghantar bola dengan tendangannya yang tepat kesasaran,”

Ketika diminta memilih salah satu antara mereka, sukar untuk Mohd Faozi memilih kerana keduanya mempunyai keistimewaan tersendiri.

“Pemain (penjaga gol) yang banyak bergerak mengawal tiap-tiap sudut gawang gol adalah lebih penting dari penjaga gol yang statik (tidak banyak bergerak) tetapi gemar melakukan layangan badan,” ulas Mohd Faozi.

Bercakap mengenai perlawanan akhir Piala Malaysia kali ini, Mohd Faozi lebih cenderung memilih Terengganu untuk memenangi kejohanan berprestij ini. Katanya, semua pemain-pemain Terengganu tahu peranan masing-masing di setiap posisi dan mereka berada di tahap prestasi yang lebih baik.