Pasukan Hoki Terengganu (THT) hanya memerlukan seri, namun Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) yakin mampu mendapatkan kemenangan apabila kedua-dua berentap dalam perlawanan terakhir Liga Hoki Malaysia (TNB-MHL) 2018 yang bakal menentukan siapa akan dinobat sebagai juara Divisyen Perdana esok.

Turun sebagai penyandang juara, KLHC menanti kunjungan THT di Stadium Hoki Kuala Lumpur dengan keyakinan tinggi selepas membelasah Tenaga Nasional Berhad (TNB) 4-0 semalam.

Begitupun, THT yang mendahului liga dengan 21 mata, hanya satu mata meninggalkan KLHC turut memperagakan aksi cemerlang dalam perlawanan terakhir mereka selepas menumpaskan TNB Thunderbolts 4-2.

Kapten KLHC, Mohamad Sukri Abdul Mutalib percaya, jika pasukannya mampu mengulangi prestasi baik ketika menentang TNB dan menunjukkan komitmen 100 peratus, tidak mustahil kemenangan mampu dicatat esok.

“Komitmen yang dimaksudkan adalah seperti jika hilang bola perlu berusaha mendapatkannya semula dan bermain sebagai satu pasukan.

“Dalam masa sama, keinginan untuk mendapatkan kemenangan perlu ada dalam diri semua pemain KLHC. Itu juga kunci kemenangan kami ke atas TNB,” katanya ketika dihubungi.

Mohamad Sukri juga berharap pertemuan menentang THT tidak akan berakhir de­ngan keputusan seri seperti sebelumnya.

“Sebelum ini pertemuan kami dan THT sering berakhir seri, harap kali ini ia tidak berlaku lagi. Persediaan kami berjalan seperti biasa dan tiada apa-apa yang istimewa, sebaliknya percaya semua dapat dihadapi dengan sebaiknya,” katanya lagi.

Skuad bimbingan Lim Chiow Chuan sebelum ini terikat 3-3 dengan THT dalam perebutan Piala Tan Sri P. Alagendra pada 7 Januari lalu, sebelum menang menerusi penentuan pukulan penalti 4-3.

Sumber: Malaysia Hockey Federation