Connect with:




Kuasa rakyat menyaksikan peralihan kuasa pemerintah buat pertama kalinya direalisasikan selepas tempoh 61 tahun negara merdeka. Mendukung prinsip demokrasi, kerajaan yang baru dipilih haruslah membentuk kabinet bagi melicinkan pentadbiran.

Peminat sukan pastinya tertunggu-tunggu siapa yang akan menggantikan YB Khairy Jamaluddin dalam memegang portfolio belia dan sukan. Khairy tidak dapat dinafikan lagi telah meletakkan benchmark yang cukup tinggi kepada penggantinya.

Pagi tadi, dalam satu  pengumuman oleh Perdana Menteri, hanya 10 kabinet awal akan diumumkan. Protfolio sukan dan belia tidak berada dalam senarai tersebut.

Ada kemungkinan portfolio ini akan dimasukkan ke kementerian yang lain bagi mengecilkan saiz kabinet. Ini masih belum dapat dipastikan lagi namun jika KBS masih kekal menjadi sebuah kementerian, siapakah wakil dari Pakatan Harapan yang berpotensi untuk mengisi jawatan Menteri Belia dan Sukan?

Melihat kepada populariti di laman maya, ahli parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dilihat menjadi pilihan ramai terutamanya dari kaum wanita dan anak muda. Saddiq, bekas pelajar Maktab Tentera Diraja antara ahli parlimen muda dalam blok kerajaan. Beliau sentiasa membawa suara belia terutamanya dalam isu-isu pendidikan, sosial, pekerjaan dan lain lain.

Umur bukanlah satu faktor. Tidak keterlaluan untuk mengatakan Saddiq ada potensi untuk menjadi sorang menteri. Bagaimanapun, kemampuannya dalam menguruskan isu sukan belum teruji maka protfolio ini mungkin tidak sesuai untuk dirinya walaupun beliau pengalaman dalam isu belia.

Foto: Rosli Rahmat (NST)

Ahli Parlimen Port Dickson,Datuk Danyal Balagopal Abdullah merupakan salah seorang yang boleh diketengahkan sebagai calon menteri KBS. Bagi pengamal media sukan, beliau bukanlah nama yang asing. Danyal, bekas pegawai kanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pernah memegang jawatan Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) selama empat tahun dari 2011 hingga 2015. Beliau juga merupakan bekas Chief De Mision Sukan Asia 2014 di Korea Selatan.

Selain itu, ahli parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad juga boleh dipertimbangkan. Ketika menjadi Adun Selangor di kawasan Seri Setia sebelum ini, beliau pernah menggalas tanggungjawab sebagai exco PENDIDIKAN, PEMBANGUNAN MODAL INSAN, SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI. Menerusi portfolio tersebut, Nik Nazmi banyak terlibat dengan program melibatkan belia. Nik Nazmi juga kerap berkongsi pandangannya terhadap isu sukan nasional seperti laporan Ketua Audit mengenai KBS dan perkembangan bolasepak tanahair. Beliau merupakan penyokong tegar Liverpool.

Datuk Seri Mukhriz Mahathir tidak perlu diperkenalkan lagi. Pernah menerajui Persatuan Bolasepak Kedah (Kedah FA) ketika menjadi Menteri Besar pada 2013-2016, Mukhriz dikenali sebagai peminat tegar pasukan Lang Merah. Ketika menerajui KFA, Kedah berjaya muncul juara Liga Premier 2015. Bagaimanapun, Mukhriz mungkin akan dilantik memegang portfolio lebih utama dalam kabinet jika dipilih berdasarkan pengalamannya dalam kabimet sebelum ini. Mukhriz juga mungkin akan dipilih sebagai Menteri Besar Kedah andai Pakatan Harapan berjaya membentuk kerajaan di negeri utara semenanjuang ini.

Seorang lagi nama yang boleh disenaraikan ialah Dr Ong Kian Ming (OKM). Beliau mungkin tidak begitu dikenali namun bagi komuniti pelari di Malaysia, OKM bukanlah nama yang asing. Seorang pelari tegar dan pernah menghabiskan larian marathon, ahli parlimen Bangi ini kerap memberi kritikan terhadap isu penganjuran acara larian di Malaysia. Beliau juga pernah berkayak dalam usaha mencari sampel air sungai yang tercemar di Kajang.

Kelima-lima ini adalah calon yang kami di Dunia Sukan rasakan berpotensi untuk menggalas tanggungjawab di KBS. Mungkin juga ada nama lain yang layak selain senarai yang disebutkan di atas. Siapa pun yang menggalas tanggungjawab ini, diharap dapat memberikan khidmat yang terbaik bagi memacu perkembangan belia serta membangunkan sukan ke persada yang lebih tinggi seperti yang telah dilakukan oleh Khairy.