Shukor Farhan Suliman kini menyinar dalam acara sukan basikal trek para setelah meraih emas dalam acara 3km individu kejar mengejar kategori C1, C2 dan C3 campuran.

Keunikan pelumba basikal ini ialah dia hanya menggunakan sebelah kaki untuk berkayuh setelah kehilangan kaki kanannya akibat kemalangan pada tahun 2011.

Namun, keadaan diri yang kurang upaya bukan penghalang sebaliknya memberi kehidupan baharu setelah menyahut tawaran daripada Majlis Sukan Negara (MSN) untuk mewakili Malaysia pada 2013.

Pelumba berusia 21 tahun itu gembira dapat mencapai sasaran yang ditetapkan oleh jurulatih Johari Nayan.

“Saya sangat gembira kerana tidak hanya mencapai sasaran emas tetapi juga melakar masa terbaik saya 4:6.204s.

“Sukan Para Asean adalah matlamat utama walaupun saya tahu saya akan menentang pelumba basikal daripada China dan Jepun,” katanya.

Foto Kredit: Instagram (Shukor Farhan Suliman Official Page)