Connect with:




Nampaknya kita masih perlu menunggu lagi untuk melihat jaguh MMA dari Malaysia bergelar juara dunia di pentas ONE Championship.

Terbaharu, pada Sabtu lalu di ONE: KINGDOM OF HEROES yang berlangsung di Bangkok, Thailand, Ev Ting terlepas peluang untuk beraksi dalam pertarungan merebut tali pinggang kejuaraan tahun hadapan selepas tewas kepada Shinya Aoki dari Jepun.

Aoki hanya memerlukan 57 saat sahaja untuk menewaskan Ev Ting menerusi kuncian segitiga lengan (arm triangle choke) sehingga membuatkan lawannya itu tidak sedarkan diri sebelum pertarungan dihentikan pengadil.

Ev sebelum ini pernah mendapat peluang pertarungan merebut tali pinggang lightweight namun tewas kepada Eduard Folayang menerusi keputusan juri di Manila, tahun lalu.

Hasratnya untuk kembali merebut tali pinggang kejuaraan nyata masih jauh dengan Aoki selaku bekas juara dunia jelas begitu hebat menerusi kepakarannya dalam teknik grappling. Kekalahan ini juga menamatkan rekod tiga kemenangan berturut-turut Ev.

Bagi Aoki, kemenangan di Thailand tempoh hari akan membawanya beraksi menentang pemenang antara Amir Khan dan Eduard Folayang yang akan menentukan kejuaraan pada 23 November d Manila. Tali pinggang ONE lightweight terpaksa dikosongkan selepas penyandang, Martin Nguyen mengalami kecederaan lutut.