Connect with:




Shi Yuqi menewaskan rakan sepasukan dari China, Lin Dan sekaligus menyekatnya untuk merangkul kejuaraan kejohanan badminton Terbuka All England Terbuka di Birmingham, semalam.

Dalam pada itu, Shi Yuqi terpaksa bekerja keras selama 75 minit untuk mengalahkan pemain seniornya itu, 21-19, 16-21, 21-9 untuk meraih gelaran All-England pertamanya.

Sebelum ini, Shi yang berusia 22 tahun itu pernah tewas ke atas Lee Chong Wei dalam perlawanan perseorangan lelaki tahun lalu.

Sementara itu, Jeremy Gan berjaya membawa Jepun melakar sejarah apabila buat kali pertama negara Matahari Terbit itu menjuarai acara beregu campuran pada saingan All-England.

Dalam tugasan pertamanya sebagai jurulatih beregu campuran di Jepun, gandingan muda Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higashino melakar kejutan apabila mengecewakan pilihan kelima kejohanan dari China, Zheng Siwei-Huang Yaqiong 15-21, 22-20, 21-16 dalam aksi final di Birmingham.

Jeremy berangkat ke Jepun pada November lalu apabila jurulatih Park Joo-bong memberi tugasan kepadanya untuk meningkatkan momentum pemain campuran.

Dia yang meletak jawatan daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada September lalu tidak perlu menunggu lama untuk membuktikan kredibilitinya apabila hanya memerlukan tiga bulan bagi membentuk gandingan Watanabe-Higashino.

Terdahulu, ketika dia menjadi jurulatih beregu campuran negara, dia merupakan watak penting dalam memacu kejayaan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying menjadi pasangan beregu campuran pertama negara untuk memenangi gelaran Terbuka dan berada di kelompok 10 terbaik dunia.

Kemudian, apabila dia dipindahkan sebagai jurulatih beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dapat menikmati tahun terbaik mereka pada 2016 dengan memenangi pingat perak Olimpik Rio, Denmark Terbuka dan Final Superseries Dunia.

Sementara itu, Jepun gagal mencipta kegembiraan berganda ketika Akane Yamaguchi tewas 20-22, 13-21 kepada jaguh dunia No. 1, Tai Tzu-ying dari Taiwan dalam final perseorangan wanita.

Foto Kredit: Yonex All England