Shahurain Abu Samah atau lebih dikenali sebagai Kecik oleh peminat skuad Hoben Jang Hoben merupakan nadi dalam pasukan Negeri Sembilan musim ini apabila berjaya menjaringkan gol-gol penting sejak saingan Liga Super sehinggalah ke kempen Piala Malaysia.

Mengulas mengenai perkara ini, bekas jurulatih Negeri Sembilan, Wan Jamak Wan Hassan berkata bahawa Shahurain kini telah menjadi pemain yang lebih matang berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2009, perlawanan ketika itu merupakan perlawanan akhir pertama beliau. Beliau kelihatan gugup ketika itu dengan kehadiran ribuan peminat di stadium walaupun berjaya menjaringkan gol. Seterusnya pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2010.

Beliau mungkin boleh menjaringkan gol pada hari esok dan mungkin tidak. Tetapi yang pasti, beliau bakal memainkan peranan yang besar dalam merencana serangan pasukan Negeri Sembilan. Shahurain kini lebih matang dan tidak gugup bermain di perlawanan-perlawanan besar. Saya yakin, beliau mampu membantu pasukan beliau untuk menghasilkan gol pada perlawanan akhir esok,” jawab Wan Jamak.

Susulan daripada kenyataan itu, Shahurain menganggap perkara tersebut sebagai satu cabaran yang harus disahut, kerana beliau sedar bekas jurulatihnya tahu akan kemampuan beliau ketika Wan Jamak bertugas sebagai ketua jurulatih pasukan Negeri Sembilan beberapa tahun yang lepas.

“Kata-kata daripada bekas jurulatih saya ini akan saya jadikan satu motivasi dan cabaran buat diri sendiri untuk beraksi pada tahap yang terbaik. InsyaAllah, saya tidak akan menghampakan para peminat yang sentiasa menyokong pasukan ini. Saya tidak jadikan ini sebagai satu tekanan, sebaliknya saya jadikan dorongan ketika beraksi kelak. InsyaAllah, saya akan cuba merobek gawang gol Terengganu yang dikawal Sharbinee Allawee.”

Shahurain, 24, merupakan salah seorang penjaring gol pasukan Negeri Sembilan ketika perlawanan akhir Piala Malaysia 2009 yang dimenangi oleh Negeri sembilan dan perlawanan Piala Malaysia 2010 yang dijuarai oleh Kelantan.

Selain itu, beliau juga tidak gentar berhadapan dengan pertahanan pasukan Terengganu yang ingin mengekang pergerakan beliau di bahagian sayap kanan Negeri Sembilan.

“Mengenai Zubir Azmi yang dijangka untuk mengawal pergerakan saya, lihatlah bagaimana cara permainan saya nanti. Semuanya bergantung kepada situasi permainan, tentang bagaimana caranya untuk saya menembusi pertahanan pasukan Terengganu. Tidak banyak yang boleh saya perkatakan di sini. Walau bagaimanapun, saya akan terus mencuba mengucar-kacirkan bahagian pertahanan pihak lawan. Satu perkara yang pasti, sekiranya ada peluang dan ruang yang terhidang, saya tidak akan sia-siakan. Kami akan memberikan persembahan seratus peratus pada perlawanan malam esok.”