Pertahanan Perak, Muhd Shahrom Abdul Kalam adalah antara pemain yang dipanggil semula oleh jurulatih, Datuk K. Rajagobal menyertai kem kebangsaan untuk perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Sri Lanka pada 28 April ini di Stadium Shah Alam, Selangor.

“Saya bersyukur kerana dipanggil semula. Saya berharap dapat diberi peluang untuk beraksi menentang Sri Lanka nanti. Saya perlu bersaing serta buktikan kemampuan diri untuk mendapat kepercayaan jurulatih,” ungkapnya tatkala ditanya mengenai perasaan dan harapannya kali ini.

Digugurkan dari kem kebangsaan menentang Australia pada Oktober tahun lalu kerana kecederaan hamstring, Shahrom Kalam menyatakan dirinya kini lebih bersedia dan perlu bersaing dengan pemain-pemain yang lebih muda seperti Fadhli Shas, Muslim Ahmad dan Aidil Zafuan.

“Dalam bolasepak, umur tidak penting kerana persembahan serta pengalaman yang diambil kira. Lagipun saya baru berusia 27 tahun dan inilah masa untuk saya buktikan kemampuan saya,” tambahnya lagi disamping berharap dapat mengembalikan  zaman kegemilangan pemain Perak yang pernah mewakili skuad kebangsaan.

Selain Shahrom Kalam, antara pemain yang dipanggil semula adalah penjaga gol Selangor, G. Jeevanathan, Amar Rohidan (Kedah) dan penyerang kelab Pelita Jaya FC, Safee Sali. Empat pemain Harimau Muda A turut dipanggil Rajagobal memperkuatkan skuad kali ini iaitu Hazwan Bakri, Mahali Jasuli, Fadhli Shas dan pemain sayap, Wan Zack Haikal Wan Nor.

Menggugurkan 12 pemain daripada skuad sebelum ini, Rajagobal turut memilih untuk memberikan peluang buat pemain tengah T-Team, Mohd Faiz Subri, pertahanan Azmizi Azmi (Kedah) dan Nizam Abu Bakar (Felda United) serta pemain sayap Sarawak, Ashri Chuchu untuk menyertai latihan pusat yang bermula pada hari ini.

Senarai 26 pemain Malaysia bertemu Sri Lanka:

Penjaga Gol: Farizal Marlias (Negeri Sembilan), G Jeevananthan (Selangor), Sani Anuar Kamsani (Sarawak)

Pertahanan: Fadhli Shas, Mahali Jasuli (Harimau Muda A), Aidil Zafuan Radzak, Amirizwan Taj Tajuddin (ATM), Shahrom Kalam (Perak), Azmizi Azmi (Kedah), Helmi Rameli (PKNS), Asrarudin Putra Omar (Selangor), Nizam Abu Bakar (Felda United)

Tengah: S Kunanlan, Shahurain Abu Samah (Negeri Sembilan), Bunyamin Omar, K. Gurusamy, Safiq Rahim (Selangor), Amar Rohidan (Kedah), Ashri Chuchu (Sarawak), Rozaimi Abdul Rahman (Sabah), Wan Zack Haikal Wan Nor (Harimau Muda A)

Penyerang: Safee Sali (Pelita Jaya FC), Ahmad Hazwan Bakri (Harimau Muda A), Ahmad Shakir Md Ali (Negeri Sembilan), Azamuddin Akil (Pahang), Faiz Subri (T-Team)