Lions XII kini sudah bersedia menyahut cabaran Kelantan dalam pertemuan pertama Liga Super, menurut ketua pasukan Lions XII, Shahril Ishak. Walau bagaimanapun, Shahril berpendapat pasukan dari seberang ini seharusnya berwaspada dalam menghadapi ancaman pasukan Kelantan walaupun The Red Warriors tewas kepada pasukan Negeri Sembilan dalam perlawanan Piala Sumbangsih tempoh hari.

“Walaupun tempoh latihan pra-musim hanya sebulan, kami telah membina persefahaman yang baik di antara kami di dalam perlawanan persahabatan menjelang musim baru. Bagi saya, ini sudah cukup bagi mengharungi saingan liga.”

“Walau bagaimanapun, reputasi Kelantan sebagai juara bertahan Liga Super turut memberi impak kepada pasukan kami. Pasukan Kelantan dipenuhi dengan pemain yang berkualiti, kalau tidak bagaimana mereka boleh menjuarai liga. Menjuarai sesuatu pertandingan liga bukan perkara yang mudah. Oleh itu, kami telah membuat pelbagai persiapan, seperti menonton rakaman perlawanan yang melibatkan pasukan Kelantan, dan kini semua pemain bersemangat untuk berhadapan dengan pasukan Kelantan. Secara umumnya, kami sudah bersedia,” ujar ketua pasukan kebangsaan Singapura ini.

Walaupun Kelantan dipenuhi pemain bintang, Shahril Ishak menganggap Lions XII memiliki kekuatan yang tersendiri.

“Kekuatan pasukan Lions XII terletak kepada semangat berpasukan. Kita menganggap semua pemain di dalam pasukan adalah sama dan mempunyai peranan masing-masing. Selain itu, kelebihan bermain di Stadium Jalan Besar(Singapura) sebagai tuan rumah juga merupakan kelebihan kami, kerana kami sudah biasa bermain di atas padang tiruan. Oleh itu, saya berharap agar para penyokong pasukan Lions XII turun memeriahkan perlawananan hari esok(malam ini) dan memberi semangat kepada kami. Tanpa mereka, hilang meriah dan semangat itu,” menurut kata bekas pemain Medan Chiefs ini.

Shahril Ishak, 28, turut menamakan Mohamed Ghaddar dan Denny Antwi sebagai ancaman pasukan Lions XII, selain Norshahrul Idlan Talaha yang dianggap mampu mengucar-kacirkan pertahanan skuad singa ini.

Turut berkongsi pendapat yang sama, ialah pemain bintang Lions XII, Hariss Harun. Menurut Hariss, pasukan Kelantan tidak harus dipandang remeh, walaupun tewas kepada pasukan Negeri Sembilan tempoh hari.

“Seperti yang kita dapat lihat pada perlawanan tempoh hari, Kelantan merupakan satu pasukan yang mantap. Lihat bagaimana mereka membina semula permainan mereka. Pemain yang perlu diberi perhatian ialah Norshahrul Idlan Talaha. Pemain ini sangat bijak mengawal bola, selain mampu menjaringkan gol dan perlu diberi perhatian oleh pertahanan Singapura.”

Beliau turut menambah,”Dalam pasukan Lions XII pula, kita mempunyai pemain yang berpengalaman seperti Shahril Ishak, Isa Halim serta Agu Casmir. Saya yakin kami mampu bermain dengan baik dengan bantuan pemain yang berpengalaman seperti mereka.”

Hariss Harun, 22, juga tidak menafikan bahawa “harapan negara” terletak di atas bahu mereka dalam memberikan persembahan yang terbaik di dalam kancah bola sepak Malaysia.

Kancah Liga Super 2012 akan bermula pada hari ini dengan beberapa perlawanan tumpuan akan berlangsung seperti Negeri Sembilan menentang Selangor yang diadakan di Stadium Paroi, dan Lions XII menentang Kelantan yang akan diadakan di Stadium Jalan Besar, Singapura.