Ketua pasukan kebangsaan Singapura, Shahril Ishak menyatakan rasa bangganya terhadap sahabat beliau, Safee Sali yang dikhabarkan ditawarkan tempat untuk bermain di Eropah.

Dalam satu kenyataan, Shahril menyatakan bahawa beliau berbangga dengan pencapaian Safee yang dikhabarkan sedang ditawarkan untuk beraksi untuk pasukan yang bertapak di benua Eropah.

“Secara peribadi, saya berasa sangat bangga apabila mendengar berita ini. Safee telah membanggakan rakyat Malaysia dan para peminat bola sepak di Asia Tenggara secara umumnya kerana kita sendiri tahu, sebagai seorang pemain yang berasal dari rantau Asia Tenggara, untuk mendapat peluang sebegini bukannya mudah.”

Beliau turut menambah,”Nasihat saya kepada Safee, rebutlah peluang ini kerana kerjaya sebagai seorang pemain bolasepak sangat singkat. Kita belum tahu sampai bila kita akan terus bermain bola sepak pada masa akan datang. Terutamanya sekiranya ada peluang di Eropah, rebutlah peluang itu.

Shahril, 28, juga turut yakin bahawa Safee Sali bakal menjadi seorang pemain yang lebih dihormati sekiranya beraksi di sana, selain dapat membantu pasukan kebangsaan. Walau bagaimanapun, Shahril akan tetap memberi sokongan terhadap rakan sejawatannya itu sekiranya Safee ingin tetap bersama Pelita Jaya.

“Kalau Safee ingin kekal bersama Pelita Jaya, saya tetap akan memberikan sokongan penuh kepada beliau. Suasana bola sepak di Indonesia juga ada kelebihannya, dengan sokongan peminat fanatik serta pemain yang berkualiti. Walau bagaimanapun, dengan kemelut yang sedang melanda saingan liga di Indonesia, Safee harus membuat keputusan. Apa yang boleh saya nasihatkan ialah kepentingan negara harus diutamakan.”