Connect with:




Gadis berasa dari Johor Bahru ini bermula dengan cemerlang dalam pentas ONE Championship menerusi hatrik 3 kemenangan berturut-turut.

Bagaimanapun, rekod tersebut tercalar Februari lalu di Bangkok selepas tewas menerusi keputusan berbelah bahagi juri kepada Gina Iniong.

Tidak mahu terus kecewa dengan kekalahan tersebut, Jihin Radzuan kini kembali fokus untuk mengembalikan reputasinya sebagai bintang MMA wanita nombor satu Malaysia. Pada 12 Julai ini, The Shadowcat akan bertemu dengan Jomary Torres dari Filipina dalam ONE: Masters of Destiny di Axiata Arena.

“Sebenarnya selepas saya menang kali ketiga, saya ada meminta untuk pihak ONE padankan saya dengan Jomary bagi pertarungan seterusnya.

“Bagaimanapun saya diminta berlawan dengan Gina. Kemudian untuk aksi di Axiata Arena ini, permintaan saya direalisasikan. Memang saya sangat teruja untuk menentang dengan lawan yang saya minta sendiri” kata Jihin.

Jihin menambah Torres dilihat lebih kepada seorang ‘striker’ (gemar aksi menumbuk secara berdiri) namun cara pertarungannya sudah boleh diagak.

“Saya sudah tonton video pertarungannya. Teknik dan cara berlawan dia (Torres) tidak banyak berubah. Saya juga yakin memiliki kelebihan jika dia memilih untuk beraksi secara ‘ground’ (bertarung tanpa berdiri).

Mengulas mengenai persediaannya, Jihin memberitahu semuanya berjalan dengan lancar dan dia yakin untuk mengatasi lawannya itu nanti.

“Saya dah mula latihan lama lagi termasuk ketika bulan puasa. Saya berlatih seperti biasa di bawah kendalian jurulatih saya, Melvin Yeoh.

“Cabaran sebelum pertandingan sebenarnya adalah dalam mengekalkan berat badan. Itu memerlukan kekuatan mental.

Keyakinan Jihin untuk menang juga dibantu dengan ribuan penyokong Malaysia di Axiata Arena nanti.

“Sememangnya semangat ketika beraksi di hadapan penyokong sendiri sangat berlainan. Kita sudah tahu suasana di gelanggang sendiri ditambah pula sorakan dari penyokong Malaysia yang cukup membantu ketika bertarung” jelas Jihin.

Untuk rekod, tiga kemenangan yang dicatatkan Jihin sepanjang kariernya di ONE Championship dihasilkan di Kuala Lumpur.