Connect with:




Selepas mencatatkan 3 kemenangan berturut-turut di pentas ONE Championship, bintang MMA wanita negara, Jihin Radzuan masih merasakan belum tiba lagi masanya untuk beraksi di luar dari Malaysia.

Pada Mac tahun ini, Jihin menewaskan Pooja Tomar dari India diikuti kemenangan ke atas Priscilla Hertati dari Indonesia pada Julai. Kedua-dua pertarungan diadakan di Kuala Lumpur. Semalam, Jihin menempah kemenangan ketiganya dalam ONE menerusi keputusan sebulat suara juri ke atas kemenangannya terhadap Jenny Huang dari Taiwan.

Dengan rekod yang cemerlang ini, ramai beranggapan sudah tiba masanya Jihin membuktikan kemampuannya beraksi di luar Malaysia. Namun begitu, Jihin mempunyai perancangan tersendiri dalam karier MMA yang diceburinya ini.

“Memang saya teringin nak beraksi di luar negara namun buat masa ini, fokus saya adalah bertarung di Malaysia. Saya rasa belum masanya lagi untuk keluar bertarung di luar negara.

“Saya masih seorang atlet separuh masa dan banyak perkara perlu dilakukan di dalam negara. Lagi pun, walaupun mempunyai rekod 3 kemenangan, saya masih rasa aspek teknikal yang ada belum cukup baik buktinya pada pertarungan sebentar tadi (semalam), banyak yang saya rasa perlu dipertingkatkan” jelasnya yang berasal dari Johor ini.

Kata-kata Jihin itu ada benarnya melihatkan persembahannya menentang Jenny Huang. Jihin sememangnya jelas menguasai perlawanan namun begitu riak wajahnya ada menunjukkan sedikit rasa kecewa kerana tidak dapat memenangi pertarungan dengan lebih awal.

Jihin melakukan segala-galanya dari tumbukan bertubi-tubi serta cubaan submission namun Jenny berjaya bertahan sehingga tamat 3 pusingan.

“Saya ingin berterima kasih kepada penyokong yang hadir malam ini menyokong atlet-atlet negara. Semangat saya di dalam gelanggang berkobar-kobar mendengar teriakan ‘Malaysia’ dari para penyokong”.