Ahmad Shabery bersama penyokong-penyokong Malaysia di Laman Pengantin

 

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyifatkan kekalahan 0-2 Malaysia ditangan Thailand pada separuh akhir kedua Piala AFF  adalah merupakan satu kekalahan yang bermaruah.

Baginya, pemain telah menunjukkan semangat juang berhabis-habisan namun mengakui Thailand menampilkan aksi yang lebih baik dari Malaysia sepanjang perlawanan.

“Pemain telah menunjukkan kesungguhan. Cuma mutu pengadilan yang agak mengecewakan sedikit sebanyak menyumbang kepada kekalahan Harimau Malaya malam ini (Khamis)” kata Shabery yang ditemui ketika menyaksikan perlawanan bersama-sama 3ribu peminat di Laman Pengantin, Setiawangsa.

Tambah Shabery, apa yang penting ialah peminat perlu terus menyokong Harimau Malaya sambil mengharapkan pasukan negara mengubah corak permainan selepas ini.

” Kita terlalu bergantung kepada corak hantaran jauh. Saya harap pasukan dapat menukar pendekatan dan kaedah baru bagi memperbaiki mutu permainan mereka,” katanya lagi.

Sementara itu lagenda bolasepak negara, Datuk Santokh Singh merasakan keengganan pemain negara dalam memberi tekanan awal kepada pasukan Thailand ketika diserang telah memberi ruang kepada lawan untuk menjaringkan gol.

“Thailand mengawal bola sepanjang perlawanan jadi seharusnya pemain kita perlu lebih memberi tekanan kepada mereka. Namun sebaliknya, lebih banyak ruang diberi kepada lawan untuk menyerang” katanya yang masih percaya pengendali kebangsaan, Datuk K.Rajagobal perlu diberi peluang untuk terus menggalas tanggungjawab sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Supachalasai ini, Harimau Malaya terpaksa bermain sepuluh orang pada babak kedua selepas Fadhli Shas  dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-44.

Kesempatan tersebut digunakan sebaiknya Thailand dengan menjaringkan 2 gol menerusi Teerasil Dangsa pada minit ke-60 dan Teerathorn Butmathan selang 5 minit kemudian. Keputusan ini menyaksikan Thailand menang keatas Malaysia dengan agregat 3-1 sekaligus menempah slot perlawanan akhir menentang Singapura pada 19 dan 22 Disember nanti.