Pelumba Colombia, Jose Serpa yang menunggang untuk pasukan Androni Giocattoli memenangi Kejohanan Lumba Basikal Le Tour de Langkawi buat kali kedua dalam kariernya selepas merangkul gelaran juara buat kali pertama dalam tahun 2009.

Dengan berbekalkan kemenangan di peringkat ke lima dari Ayer Keroh ke Pandan Indah dan peringkat ke enam dari Shah Alam ke Genting Highlands, Serpa hanya perlu menamatkan perlumbaan bersama kelompok hadapan untuk menjamin gelaran Juara Keseluruhan edisi ke 17 ini menjadi miliknya.

Rakan sepasukan Serpa, Jose Rujano berada tiga puluh saat di belakang untuk bergelar naib johan sementara pelumba pasukan Azad University Iran, Victor Nino Corridor menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.

Serpa juga berjaya mengungguli gelaran ‘Raja Bukit’ apabila beliau berjaya menamatkan saingan di hadapan pelumba dari pasukan Farnese Vini – Selle Italia, Matteo Rabottini dan juga mengenepikan cabaran rakan sepasukannya, Rujano sekali lagi.

Sementara itu pemenang enam peringkat perlumbaan dalam edisi kali ini, Andrea Guardini dari pasukan Farnese Vini – Selle Italia berjaya merangkul gelaran ‘Raja Pecut’ menewaskan pencabar dari pasukan Astana, Valentin Iglinskiy dan Jacobe Keough dari pasukan United Healthcare.

Alexandr Dyachenko dari pasukan Astana pula muncul sebagai pelumba terbaik Asia selepas menamatkan perlumbaan di tempat ke empat keseluruhan diikuti oleh pelumba pasukan Tabriz Petrochemical, Ghader Mizbani dan rakan sepasukan Dyachenko, Andrey Zeits di tempat ke tiga.

Kedudukan tertinggi penunggang Malaysia ialah di tempat ke 19, Mohd Adiq Husainie Othman yang menunggang untuk pasukan Champion System diikuti oleh Mohd Saufi Mat Senan dari pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) di tempat ke 22. Dalam klasifikasi penunggang Asia pula masing-masing berjaya menduduki tempat ke empat dan ke lima.

Pasukan Androni Giocattoli muncul sebagai juara berpasukan diikuti oleh pasukan Astana Pro Team. TSG pula muncul sebagai pasukan terbaik Malaysia dengan menamatkan perlumbaan di tempat ke sepuluh keseluruhan (ke tiga Asia) sementara pasukan kebangsaan Malaysia di tempat ke 16 (ke enam Asia).