Sekurang-kurangnya lapan orang telah meninggal dunia dan 45 yang lain telah cedera berikutan serangan pengganas pada Kejohanan Kricket yang berlangsung di Jalalabad, Afghanistan.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Jawatankuasa Kricket Antarabangsa, ICC, David Richardson meluahkan rasa simpatinya selepas serangan itu berlaku pada kejohanan berturut-turut pada hari Jumaat.

Tiga bom dikatakan telah diletupkan secara berturut-turut dengan beratus-ratus pengunjung yang sedang menonton di Stadium Kriket Spinghar.

Salah seorang pengunjung yang cedera parah dikejarkan ke hospital. Foto Kredit: The New York Times

“Kami sedih mendengar serangan pengganas pada perlawanan kriket di Afghanistan. Kami menucapkan salam takziah dan berasa simpati kepada keluarga mereka yang terbunuh dan pemain kriket di sana.” Kata Richardson.

Presiden Afghanistan Ashraf Ghani mengutuk serangan itu dengan tegas dan memberitahu ianya telah mencemarkan bulan yang suci iaitu bulan Ramadan.

Tiga bom telah diletupkan sehingga menyebabkan lapan orang meninggal dunia dan 45 lagi cedera. Foto Kredit: Getty Image

 

“Pengganas tidak berhenti membunuh rakyat kita walaupun pada bulan suci Ramadhan. Dengan melakukan serangan pengganas di stadium sukan rakyat, sekali lagi mereka membuktikan bahawa mereka tidak terikat dengan kepercayaan atau agama, dan mereka adalah musuh manusia.” katanya.

Sementara itu, ketika tahun 1990an, kriket telah diharamkan di bawah rejim Taliban di Afghanistan – disifatkan sebagai gangguan dari agama.

Walau bagaimanapun, sukan ini telah boleh dimainkan sejak kebelakangan ini, dengan pasukan kebangsaan memperoleh ‘Test status’ pada 2017.