Pingat merupakan antara elemen terpenting dalam setiap temasya atau kejohanan sukan. Ia merupakan satu pemberian atau kepuasan terhadap segala keringat dan usaha yang diberi dalam setiap sesi latihan. Maka wajarlah setiap pingat yang dihasilkan untuk satu-satu temasya itu dihasilkan penuh berkualiti dengan cara tersendiri.

Untuk temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), pingat kepada para pemenang bakal disediakan pengeluar cenderamata berasaskan pewter yang terkenal di dunia, Royal Selangor. Sebagai penaja Perak dan juga Rakan Pingat Rasmi, Royal Selangor turut akan membekalkan baton, obor dan cenderamata termasuk figura maskot Rimau untuk temasya ini.

Bagi Chen Tien Yue, Pengarah Eksekutif Royal Selangor, pihaknya sangat berbangga untuk melibatkan diri dengan temasya dwi tahunan ini sekaligus menyambung legasi sebagai pengeluar pingat temasya sukan besar di Malaysia. Sebagai rekod, Royal Selangor adalah syarikat yang bertanggungjawab dalam mengasilkan trofi-trofi acara berprestij di Malaysia seperti Formula 1 dan Sime Darby LPGA. Malah, mereka turut merekabentuk trofi untuk perlumbaan F1 di Shanghai, tenis Shanghai Master dan trofi untuk Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

“Sebenarnya ini bukan kali pertama Royal Selangor menyediakan pingat untuk Sukan SEA. Ramai yang tidak tahu, kami juga merupakan penyedia pingat untuk temasya Sukan Komanwel 1998 dan juga Sukan SEA 2001.

“Maka kami sekali lagi berasa bangga untuk terus menjayakan KL2017 dengan menyediakan pingat yang cukup menakjubkan untuk dipersembahkan kepada para atlet” katanya kepada Dunia Sukan.
ELEMEN MODEN DAN MALAYSIA

Menyentuh mengenai reka bentuk pingat KL2017, Tien Yue menjelaskan selepas beberapa kali perbincangan dibuat mengenai konsep pingat dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta sekretariat Kuala Lumpur 2017 (MASOC), akhirnya konsep moden yang memaparkan elemen Malaysia telah dipilih sebagai reka bentuk pingat.

“Kami menggunakan kayu kempas iaitu kayu yang cukup berkualiti tinggi sebagai bingkai dimana ia menyerlahkan unsur kemodenan dalam bentuk yang amat klasik. Pingat-pingat ini melambangkan pencapaian atlet. Gabungan kayu dan pewter mengiktiraf sumber asli rantau ASEAN iaitu bijih timah dan kayu kempas sebagai satu keistimewaan yang khas ada pada Malaysia”.

Selain pingat, rekaan Royal Selangor untuk obor dan baton juga menyerlahkan ciri-ciri Malaysia untuk KL2017.

 

“Kami mengukir baton dengan cukup kemas dan rapi berinspirasikan tema Bangkit Bersama dimana ia merujuk kepada gelungan yang mewakili setiap negara ASEAN.

“Ia turut diperbuat menggunakan kayu kempas – sama seperti obor KL2017”.
KEHANGATAN KL2017 DI ROYAL SELANGOR

Jika anda mempunyai kelapangan, apa kata hadirkan diri ke Pusat Lawatan Royal Selangor yang terletak di Setapak. Dihadiri 1000 pengunjung setiap hari, pusar lawatan ini dibuka setiap hari dari jam 9 pagi hingga 5 petang.

Pengunjung dapat menyaksikan sendiri cara pembuatan cenderamata berasakan pewter disini. Apa yang lebih menarik, bersempena KL2017, Royal Selangor mengadakan pelbagai aktiviti untuk para pengunjung.

Antaranya, cabaran selfie dengan obor KL2017 yang melayakkan anda untuk mendapat kad hadiah bernilai RM20 untuk pembelian cenderamata. Untuk kanak-kanak, terdapat acara ‘RIMAU Hunt’ dimana anda perlu mencari 5 patung Rimau yang ada dalam kilang untuk membolehkan anda mendapat biskut yang disediakan di kafetaria Royal Selangor.

“Kami juga menyediakan bengkel ‘School Of Hard Knock’ kepada para pengunjung untuk mereka hasilkan sendiri cenderamata bersempena Sukan SEA tahun ini. Itu antara aktiviti menarik menanti para pengunjung yang hanya boleh dibuat di pusat lawatan Royal Selangor ini” tambah Tien Yue lagi.

Royal Selangor Visitor Centre dibuka setiap hari dari jam 10 pagi hingga 5 petang tanpa dikenakan sebarang bayaran.